ANTARA kandungan media sosial yang mudah mendapat sambutan antara melibatkan misteri atau paranormal. Maka tidak hairan jika pelakon, penyanyi dan pengacara, Izzue Islam juga tiba-tiba melibatkan diri dalam aktiviti ‘mencari hantu.’
Seperti yang dijangka, kandungan tersebut meraih ribuan tontonan di TikTok malah, ramai yang mengharapkan agar artis versatil itu meneruskan aktiviti paranormal seperti itu. Tetapi macam biasa, dalam manis tetap ada pahitnya.
Ada yang tertanya, Izzue sudah tidak ada tawarankah sehingga sanggup turun ke hutan, rumah atau bangunan terbiar untuk mencari entiti ghaib? Tidakkah dia khuathir jika ada gangguan mistik atau ‘diikut’ balik?
Jawablah mendapatkan Izzue!
J: Sebelum ini, Izzue pernah tampil dengan kandungan paranormal. Sepanjang hasilkan konten tersebut, adakah Izzue pernah alami sebarang gangguan?
I: Kalau ikutkan memang seram dan menakutkan. Saya ini pun bukanlah berani sangat, terutama melibatkan aktiviti ‘alam di sebalik mata’ ini. Tetapi saya kena akui, ada keseronokkannya aktiviti paranormal ini.
Setakat ini, saya tidak pernah pula diganggu atau ada yang ‘ikut balik’. Saya ada belajar daripada ustaz ayat-ayat yang boleh menghindarkan diri daripada diganggu. Niat saya juga sekadar mahu mencuba sesuatu yang berbeza.
J: Apakah punca yang membuatkan Izzue berhenti menghasilkan konten paranormal itu? Betul ke yang ada kena rasuk?
I: Sepanjang saya terlibat setakat ini tak pernah saya kena rasuk. Tetapi memang bila lalu di kawasan hutan, rumah atau bangunan terbiar meremang bulu roma. Seperti ada yang memerhati kami.
Kami pun tidak buat perkara yang bukan-bukan, hanya ingin merasai suasana malam di tempat yang dikatakan seram. Aktiviti itu hanya untuk perkongsian media sosial.
J: Ketika Izzue hasilkan konten seram seperti itu ada yang beranggapan Izzue sedang tiada job. Jadi, apa komen Izzue mengenai dakwaan itu?
I: Ha, sebab itu saya berehat seketika daripada menghasilkan kandungan paranormal. Sebab Alhamdulillah, tahun ini tawaran sentiasa ada dan jadual saya memang sibuk. Hari itu saya buat pun selepas tamat penggambaran atau program yang saya mengacarakan. Siapa yang sentiasa follow ‘live’ tiktok saya memang tahu jadual kerja & jadual “para” saya.
Tidak dinafikan, saya penat dan perlukan rehat jadi berhenti sekejap buat aktiviti sedemikian. Kadang berjaga sampai Subuh, pukul 7 pagi ada penggambaran. Jadi badan penat. Takut juga ganggu konsentrasi.
J: Seperti kita tahu, ramai juga warga maya yang suka dengan konten seram dan paranormal. Adakah Izzue akan kembali hasilkan konten paranormal lagi?
I: Semestinya! Cuma kena susun jadual dengan baik. Sebagai selebriti, saya perlu imbangkan dunia seni dan media sosial.
J: Apa perkembangan terkini Izzue? Adakah masih aktif berlakon atau bakal tampil dengan single terbaharu?
I: Alhamdulillah, saya bakal memulakan pengambaran drama yang ditunggu ramai. Selain itu, untuk Ramadan tahun depan juga sudah ada perancangan melibatkan perniagaan dan aktiviti seni.
Single baharu? Selepas Suka Sama Suka, saya akan tampil dengan karya yang berbeza. Nantikan! Lagu sudah dirakam, tinggal penghasilan muzik video sahaja.