KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pempengaruh, Agy, tidak berkecil hati namanya sering menjadi bahan kecaman di media sosial apabila ada segelintir pihak mendakwanya berpenampilan seperti perempuan.
Menafikan perkara itu, Agy atau Muhammad Affizy Mohd Khairy, 29, menjelaskan busana yang dikenakannya semasa acara karpet merah mahupun di dalam video muzik adalah pakaian lelaki dengan sentuhan eksperimentasi (avant-garde).
“Berkenaan pakaian, sebenarnya baju itu adalah baju lelaki yang avant-garde di mana orang Melayu tidak biasa tengok.
“Saya hanya memakai baju yang direka oleh pereka fesyen, cuma mungkin selepas ini saya akan lebih berjaga-jaga. Saya juga faham masyarakat kita ada norma yang perlu saya akur.
“Selain itu, saya juga tidak mahu hal ini terus diperkatakan sehingga ada yang rasa saya memberi impak buruk kepada kanak-kanak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bamboo Hills, baru-baru ini.
Bagaimanapun, penyanyi Uno Dos Tres itu juga berharap masyarakat tidak mudah menjatuhkan hukum sebaliknya membuka hati untuk lebih mengenali peribadinya.
“Sebenarnya di hari biasa, jika tiada acara tertentu, saya santai sahaja pakai baju-t. Cuma kadang ia permintaan penganjur yang mahukan saya pakai baju pereka fesyen tertentu.
“Kalau warganet tidak suka, saya rasa jangan tengok dan kongsi. Kena kenal dulu saya dan jaga mulut,” tambahnya.
Ditanya mengenai respons keluarga melihat namanya sering menjadi bahan bualan warganet di media sosial, Agy bagaimanapun bersyukur kerana memiliki keluarga yang memahami.
“Keluarga saya Alhamdulillah mereka faham kerja saya dan okay. Saya juga selalu menerima nasihat daripada mereka, oleh itu mana yang perlu dikurangkan, saya akan kurangkan,” katanya.
Terdahulu, Agy mencuri tumpuan apabila penampilannya dikatakan cuba menyerupai wanita. -UTUSAN