KUALA LUMPUR: Bekas vokalis kumpulan Wings, Mel, berharap setiap ahli yang pernah menganggotai kumpulan itu dapat disatukan semula menerusi album baharu atau konsert.
Mel atau nama sebenarnya, Ismail Zainuddin, 58, berkata, meskipun hasrat itu sukar dipenuhi, namun dia percaya ia tidak mustahil untuk direalisasikan.
“Saya pernah maklumkan tentang ini kepada Joe, Eddy dan Black. Joe berdiam, tapi saya tahu dia tidak menolak.
“Saya betul-betul berharap, kami semua dapat bersatu semula, mungkin dengan sebuah album baru atau konsert bertaraf mega untuk peminat.
“Ini harapan sebelum saya tutup mata. Tiada yang mustahil jika Allah izinkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Kata Mel lagi, besar harapannya untuk melihat kesemua anggota Wings bersatu semula sehingga hujung nyawa masing-masing.
“Dalam usia yang sudah meningkat ini, harapnya dapatlah kami terus sama-sama berkarya, hasilkan lagu-lagu baharu yang mengajak peminat mengingati Allah,” ujarnya.
Mengulas mengenai krisis membabitkan Awie dan Joe, Mel berharap keduanya dapat mengenepikan ego dan berbaik semula demi peminat dan kebaikan Wings.
“Banyak band berpecah, tapi Wings tidak perlu begitu. Pelbagai kejayaan band ini capai meskipun ahli bertukar ganti.
“Jadi apa salahnya kami bersatu semula, buat album dan konsert. Saya sudah cukup bersedia kalau perkara itu berlaku.
“Tapi, siapalah saya. Hanya mampu suarakan hasrat yang terpendam,” jelasnya.