PETALING JAYA: Isu pengagihan gas antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) kini hampir selesai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua pihak kini sudah di peringkat akhir untuk mencapai kata putus.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa perkara termasuk berkaitan implikasi perundangan masih belum dimuktamadkan.
“Sesi perbincangan yang baik telah diadakan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan keputusan yang jelas sudah dicapai.
“Kami sedang memperincikan pada butiran, parameter dan implikasi undang-undang, namun prinsip-prinsip sudah dijelaskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran National AI Office (NAIO) di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) di sini semalam.
Sebelum itu, Sarawak menerusi syarikat petroleum milik kerajaan negeri, Petros memutuskan untuk mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di negeri ini bermula 1 Julai lalu.
Bagaimanapun, Petronas meminta penangguhan kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas dan Kerajaan Sarawak kemudian memberi tempoh lanjutan selama tiga bulan.
Pada 31 Oktober lalu, Abang Johari mendedahkan Petros menjadi agregator gas tunggal di negeri ini apabila secara dasarnya kedua-dua syarikat petroleum itu mencapai resolusi bersama berkaitan urusan pengagihan.
Bagaimanapun, Petronas dalam reaksi berhubung pendedahan Abang Johari, menjelaskan proses perbincangan cadangan pelaksanaan Ordinan Pengedaran Gas (DGO) masih belum dimuktamadkan dan rundingan masih diteruskan untuk menyelaras kepentingan dan objektif semua pihak.-UTUSAN