Siti Mastura diarah bayar lebih RM800,000 kepada 'trio' DAP

Isu komunis: Siti Mastura diarah bayar lebih RM800,000 kepada ‘trio’ DAP

siti mastura
SITI Mastura Muhammad (tengah) ketika hadir pada proses mediasi berhubung kes saman fitnah yang difailkan oleh tiga pemimpin DAP di Mahkamah Tinggi George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini memutuskan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad yang mengaitkan tiga pemimpin DAP dengan komunis sebagai fitnah yang tidak berjaya dibuktikan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Soon berkata, selain mengeluarkan kenyataan yang berunsur fitnah, defendan juga gagal memberikan pembelaan terhadap komen yang adil dalam kes tersebut.

Sehubungan itu katanya, ketiga-tiga plaintif iaitu Tan Sri Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng serta Teresa Kok masing-masing diberikan ganti rugi global berjumlah RM300,000; RM250,000 dan RM200,000 tiap seorang.

Pada masa yang sama, Chew Soon turut mengarahkan supaya faedah sebanyak lima peratus dikenakan ke atas jumlah tersebut dari tarikh keputusan hingga tarikh pembayaran dibuat.

“Dalam hal ini, saya memberikan injunksi untuk menghalang pihak defendan daripada mengeluarkan, menulis atau menerbitkan kata-kata serupa terhadap plaintif,” katanya dalam penghakiman kes berkenaan yang disampaikan menerusi aplikasi Zoom.

Ketiga-tiga pemimpin DAP itu bertindak memfailkan saman fitnah terhadap Siti Mastura pada 27 November tahun lalu selepas mereka dikaitkan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya iaitu mendiang Chin Peng serta Lee Kuan Yew dari Singapura dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu.

Dalam kenyataan pembelaan yang difailkan pada Januari lalu pula, Siti Mastura bagaimanapun berhujah bahawa dakwaannya adalah berdasarkan kebenaran dan fakta yang diperoleh daripada bahan kempen Barisan Nasional (BN) dalam buku terbitan Jabatan Komunikasi gabungan iaitu BNCOMMS.

Dalam pada itu, Chew Soon turut mengarahkan defendan untuk membayar sebanyak RM25,000 kepada setiap plaintif setelah mengambil kira bahawa ketiga-tiga saman tersebut didengar secara serentak, sekali gus menjimatkan kos.

Berkenaan perbezaan bagi jumlah ganti rugi kepada setiap plaintif, beliau berkata, ia adalah wajar selepas mengambil kira kedudukan dan reputasi Kit Siang yang lebih tinggi termasuk gelaran Tan Sri yang diterimanya daripada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

“Sebagai seorang ahli politik veteran dan Ahli Parlimen, defendan sepatutnya lebih berhati-hati dalam ucapannya dan dengan merujuk Lee Kuan Yew sebagai Lim Kuan Yew untuk menambahkan kredibiliti kepada naratifnya. Tindakan ini menunjukkan ada niat buruk di pihaknya,” kata Chew Soon.

Tambah beliau, Siti Mastura juga bergantung kepada satu penerbitan yang tidak sahih dan gagal mengesahkan kandungannya, malah, pemimpin Muslimah Pas itu juga tidak mendapatkan pengesahan langsung daripada plaintif yang boleh dihubungi dan tersedia ketika mereka masih menjadi Ahli Parlimen ketika itu.

“Walaupun memegang PhD dengan amalan baik dalam metodologi penyelidikan, beliau (Siti Mastura) bergantung kepada sebuah buku kempen yang tidak disahkan, tiada tarikh penerbitan, tiada pengarang, tiada penerbit, dan tiada nombor ISBN (Nombor Buku Piawaian Antarabangsa),” katanya.

Jelas Chew Soon lagi, walaupun buku itu tulen, defendan tidak boleh mendakwa ia sebagai fakta yang benar tanpa mengesahkan maklumat tersebut kerana asal usul buku itu adalah misteri dan sesiapa sahaja boleh menerbitkan serta melabelnya sebagai penerbitan komunikasi BN.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya