KEMAMAN: Isteri kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris cedera selepas terlibat dalam kemalangan dengan tiga buah kenderaan di sebuah stesen minyak, di Kijal, kira-kira pukul 11.35 pagi semalam.
Datin Nor Aizam Abu Bakar yang mengalami kecederaan di kepala bagaimanapun dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, kemalangan tersebut berlaku di stesen minyak di Kilometer 135 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu kereta jenis Honda Jazz dan Honda WRV serta motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda Jazz yang dipandu seorang lelaki tiba-tiba mengundur dan telah hilang kawalan lalu merempuh kereta dan motosikal tersebut.
“Nor Aizam yang merupakan pemandu Honda WRV mengalami kecederaan di kepala dan tangan,” katanya. – UTUSAN