PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini mengucapkan salam takziah atas pemergian Nur Atiqah My Yusoff, yang merupakan isteri kepada Mohamad Izzudin Izhar atau lebih dikenali sebagai Cikgu Din.
“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Menerima perkhabaran duka perihal pemergian ke Rahmatullah Allahyarhamah Nur Atiqah My Yusoff, isteri kepada cikgu Mohammad Izzuddin Izhar dari SJK(C) Ming Wok in Kanowit, Sarawak.
“Ucapan takziah dan turut berduka cita kami sampaikan buat kaum keluarga Allahyarhamah,” tulisnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya.
Isteri kepada Cikgu Din meninggal dunia pada pukul 9 malam semalam.
Perkhabaran duka itu dikongsikan Cikgu Din atau nama sebenar Mohamad Izzudin Izhar, 34, menerusi perkongsiannya di hantaran WhatsApp.
“Isteri saya telah menghembuskan nafas yang terakhir jam 9 (malam) tadi (semalam). Saya mohon maaf kalau isteri saya ada salah silap, dan kalau ada hutang (Allahyarham) mohon beritahu saya,” tulisnya.
Pada Oktober lalu, menerusi perkongsian rakan Cikgu Din di Facebook, dia memaklumkan guru tersebut dibelenggu resah apabila terpaksa berjauhan lebih 4,600 kilometer dengan isteri tercinta, Nur Atiqah My Yusoff yang bertarung nyawa melawan kanser tulang rawan tahap empat.
Ketika itu, Cikgu Din mengajar di Sarawak, manakala isterinya menetap di Kota Bharu, Kelantan.
Prihatin dengan nasib guru tersebut, Kementerian Pendidikan telah meluluskan arahan penempatan sementara bagi membolehkan Cikgu Din untuk berada bersama-sama isterinya di Kelantan.-UTUSAN