KOTA BHARU: Islam mengharamkan penggunaan pil untuk melancarkan haid bagi tujuan menggugurkan kandungan.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamed Shukri Mohamed berkata, keputusan berkaitan hukum itu telah disepakati oleh seluruh jumhur ulama.
“Tindakan menggugurkan kandungan hanya boleh dilakukan dalam keadaan darurat, sebagai contoh untuk menyelamatkan ibu sahaja.
“Jika tanya doktor pun mereka tidak bersetuju dengan tindakan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Lajnah Perkaderan Kesatuan Pondok Kelantan, Dr. Muna Hamzan meluahkan kebimbangan berkaitan pil untuk melancarkan haid kini digunakan secara berleluasa, terutama oleh mereka yang hamil di luar ikatan perkahwinan.
Katanya, perbuatan zina yang diklasifikasikan sebagai jenayah terbukti membawa mudarat besar dalam sosialisasi masyarakat yang hukuman mandatori hudud adalah rejam sampai mati bagi individu berumah tangga dan 100 kali rotan kepada pelaku zina yang berstatus bujang.
“Menggunakan pil pencair haid yang dikatakan berleluasa dipasarkan di negara ini adalah haram dengan niat menggugurkan janin yang sudah cukup sifat dalam kandungan ibu.
“Penggunaan sebarang kaedah menggugurkan janin berusia 140 hari adalah haram. Ini termasuk mengagihkan kondom percuma yang akhirnya digunakan sebagai alternatif awal menghalalkan perlakuan zina,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Ginekologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Nur Azurah Abdul Ghani menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) memperketatkan kawalan terhadap penjualan pil gugur seperti mifepristone dan misoprostol yang didakwa digunakan tanpa preskripsi doktor sehingga mengancam kesihatan wanita di negara ini.
Katanya, penggunaan kedua-dua ubat itu tanpa pengawasan perubatan boleh membahayakan nyawa.
Menurut beliau, ubat tersebut berbeza dengan pil melancarkan haid dan khusus digunakan untuk menggugurkan kandungan pada peringkat awal kehamilan.
“Masyarakat perlu sedar risiko serius seperti pendarahan berlebihan, pecah rahim dan kehilangan keupayaan untuk hamil akibat penggunaan tanpa pengawasan pakar.
“Ubat ini berfungsi dengan menghalang aktiviti hormon progesteron melalui tindakan pada reseptornya. Proses ini merangsang penghasilan prostaglandin yang menyebabkan kontraksi rahim dan membawa kepada keguguran kandungan,” katanya.
Jelas beliau, mifepristone berfungsi menyekat hormon progesteron, manakala misoprostol merangsang kontraksi rahim yang boleh menyebabkan keguguran.
“Antara kesan sampingan penggunaan tanpa kawalan termasuk loya, muntah, sakit kepala, kemurungan dan kekurangan zat kalium.
“Kes lebih serius seperti kontraksi rahim berlebihan boleh menyebabkan pembedahan kecemasan atau pembuangan rahim, sekali gus membawa kepada ketidaksuburan kekal,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof. Amrahi Buang menegaskan, sekiranya kes membabitkan kehamilan luar nikah, ia wajib dilaporkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Kata beliau, ubat-ubatan tersebut tidak boleh dijual oleh kedai jamu atau farmasi tanpa preskripsi sah daripada doktor.
“Semua produk termasuk ubat tradisional diwajibkan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (NPRA). Justeru, penjualan produk tidak berdaftar merupakan satu kesalahan besar di sisi undang-undang.
“Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah melancarkan kempen ToBATS (Tolak Ubat Tidak Sah) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya pembelian dan penggunaan ubat tidak berdaftar,” katanya. – UTUSAN