PETALING JAYA: Ipoh telah dipilih sebagai salah satu daripada lapan destinasi pelancongan terbaik di benua Asia bagi tahun 2025 menjadikannya antara lokasi yang semakin mendapat perhatian pelancong antarabangsa.
Ipoh, yang menduduki tangga kelima dalam senarai tersebut, bersaing dengan destinasi lain seperti Sumba, Indonesia di tempat pertama, Siargao, Filipina di tempat kedua, Da Nang, Vietnam di tempat ketiga, dan Tainan, Taiwan di tempat keempat.
Sementara itu, Osaka, Jepun berada di tempat keenam, diikuti Nan, Thailand di tempat ketujuh, dan Lijang, China di tempat kelapan.
Menerusi hantaran di X, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ng Kor Ming berkongsi kegembiraan atas pengiktirafan tersebut dengan memuat naik gambar SEA infografik mengenai pencapaian Ipoh.
“Selamat datang ke “Ini pekan orang hebat, Ipoh,” katanya dalam hantaran tersebut.
Pengiktirafan ini dijangka meningkatkan populariti Ipoh sebagai destinasi pelancongan pilihan, bukan sahaja dalam kalangan pelancong domestik tetapi juga pelancong asing.
Antara tarikan utama di Ipoh termasuk seni bina warisan, makanan tempatan yang terkenal, dan kawasan tarikan alam semula jadi seperti gua batu kapur dan tasik cermin.
Ipoh yang merupakan ibu negeri Perak, mempunyai sejarah yang kaya dan menarik yang berkait rapat dengan perkembangan industri perlombongan bijih timah di negara ini.
Hari ini, Ipoh dikenali sebagai salah satu bandar paling nyaman untuk didiami di Malaysia. Ia terkenal dengan warisan kolonial, seni bina bersejarah, makanan tempatan, dan pemandangan alam semula jadi. – UTUSAN