PETALING JAYA: Sebanyak 529 aduan diterima Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sejak berkuat kuasa 1 Julai, tahun lalu.
IPCC berperanan sebagai badan pemantau bebas di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari aspek siasatan aduan salah laku dan tatakelola dibuat orang awam atau mana-mana pihak terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua aduan tersebut membabitkan isu integriti, tatakelola serta hal kebajikan melibatkan anggota dan pegawai polis.
“Contoh aduan yang kita terima antaranya pengadu rasa siasatan tidak selesai, aduan berulang, ada juga yang ‘remeh’ kerana masalah peribadi.
“Setakat 22 November lalu, kita menerima 529 aduan termasuk kira-kira 140 aduan yang tertunggak sebelum Akta 839 Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 dikuatkuasakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran IPFC di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
IPFC adalah program di bawah Pelan Strategik IPCC berobjektif untuk membantu memantau tata kelakuan anggota polis, melindungi hak asasi orang awam dan PDRM memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan dan keberkesanan IPCC.
IPFC menyasarkan dan menggalakkan kerjasama pelbagai pihak melalui sesi libat urus, perkongsian kepakaran, pameran, sesi meja bulat, dialog dan sebagainya bagi meningkatkan standard kepolisan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, IPCC bukan sahaja berperanan sebagai pusat aduan berkaitan isu salah laku atau serta tatakelola dalam PDRM namun ia juga terlibat dalam perolehan bagi menjaga kebajikan anggota dan pegawai.
Jelas beliau, teras utama IPCC dilaksanakan agar rakyat meletakkan kepercayaan sepenuh hati kepada PDRM selain menegakkan integriti berteraskan ketelusan dan kolaborasi dengan pihak lain.
“Sejak beroperasi pada 1 Julai lalu, IPCC telah mengadakan 195 lawatan berjadual ke fasiliti PDRM membabitkan ibu pejabat polis daerah (IPD) di enam kontinjen polis di seluruh negara.
“Selain itu, satu prosedur operasi standard (SOP) untuk menerima aduan dan siasatan. Buat masa sekarang, IPCC telah selesai menggubal SOP ini,” katanya.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, IPCC sedang meneliti bagi menyediakan peraturan untuk menafsirkan kuasa diberikan kepada menteri di bawah Seksyen 46 Akta 839.
“Dalam Seksyen 46 itu memberikan peruntukan membolehkan menteri menggunakan kuasa. Ini bagi kes-kes terkait jenayah seksual, kecederaan parah dan tahanan mati dalam jagaan polis.
“IPCC telah mengangkat syor kepada PDRM iaitu keperluan perolehan bagi polis serta penugasan membabitkan pegawai dan anggota polis,” katanya.
IPCC, yang merupakan Badan Berkanun Persekutuan ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta 839 dan diwartakan pada 18 Oktober 2022, menjalankan fungsi dan kuasa sebagai badan pemantau bebas terhadap pasukan polis dari aspek siasatan aduan berkaitan salah laku.-UTUSAN