Sebanyak 35 produk inovasi pelajar yang berpotensi dipatenkan sebagai hak dagangan menyertai Pertandingan Inovasi TVET (INNOVET 2024) anjuran Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersial (UPIK) Kolej Komuniti Jerantut (KKJP) baru-baru ini.
Pengarah KKJP, Azad Muslim Muhammad berkata, pertandingan yang bertemakan Inovasi Lestari Teras TVET Madani memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan projek inovatif.
Di samping itu ujarnya, dapat menerapkan pengetahuan dan keterampilan mereka, serta mempromosikan pemikiran kreatif dan penyelesaian baharu khusus bagi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Pelbagai produk inovasi hasil idea dan daya kreativitipeserta yang dipertandingkan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Teknologi Makanan & Teknologi Hijau dan Akuakultur. Ini meliputi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)..
“Peserta terdiri daripada pelajar KKJP dan pelajar jemputan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerantut, SMK Padang Piol, dan SMK Jengka Pusat 2,” katanya ketika berucap dalam majlis penutup pertandingan tersebut di Kolej Komuniti Jerantut baru-baru ini.
Sementara itu, hasil inovasi tiga pelajar kolej komuniti berkenaan yang menghasilkan sapuan coklat berasaskan biji cempedak berjaya menjadi johan dan akan dipatenkan supaya dapat dikomersialkan.
Tiga pelajar terbabit iaitu Sivaneswary Ananthan; Muhammad Hazim Ahmad Jais dan Shahrul Redzuan Shamsuri, masing-masing berusia 18 tahun tampil dengan produk yang diberikan nama ‘cemptella’.
Menurut Sivaneswary, idea timbul selepas melihat biji cempedak dibuang begitu sahaja kerana hanya isinya dimanfaatkan sama ada dimakan mentah atau digoreng walaupun harganya agak mahal.
Katanya, dia bersama dua rakan memikirkan bagaimana untuk memanfaatkan biji cempedak itu menjadi produk berguna dan mendapat persetujuan daripada pensyarah pembimbing, Noraihan Ahmad @ Mohamad.
“Akhirnya kami mendapat idea untuk menjadikan biji cempedak itu sebagai bahan utama sebagai produk sapuan yang dicampur coklat untuk roti atau biskut,” katanya.
Rakannya, Muhammad Hazim berkata, biji cempedak dipotong kecil dan kemudian dijemur hingga kering sebelum dikisar agar menjadi tepung dan bahan tepung biji cempedak itu dicampur dengan coklat cair agar menjadi sapuan coklat yang likat.
Tambahnya, selain kos yang rendah, kelebihan produk itu menghasilkan tekstur yang pekat selain tepung biji cempedak turut memberikan rasa unik kepada sapuan coklat tersebut.
“Produk ini juga mempunyai nilai dari segi kesihatan kerana memiliki kandungan karbohidrat dan serat yang tinggi dan sesuai untuk semua golongan,” jelas beliau.
Tambahnya, kos untuk menghasilkan produk itu juga lebih murah jika dibandingkan dengan sapuan coklat yang ada di pasaran yang diimport menggunakan coklat dan campuran hazelnut. –UTUSAN