KUALA LUMPUR : Meraih gelaran juara program Famili Duo musim keempat Ahad lalu, penyanyi, Shiha Zikir mengakui kunci kejayaannya adalah berkat daripada doa ibunya, Rohana Ibrahim yang selama ini tidak pernah berputus asa meletakkan kepercayaan dan sokongan penuh pada kerjaya seninya.
Menurut Shiha, doa seorang ibu adalah penting selain usaha yang telah dicurahkan sepanjang mengharungi cabaran dalam program terbitan TV3 itu.
“Alhamdulillah, semua ini adalah berkat doa emak. Tak pernah terlintas dalam fikiran untuk jadi juara Famili Duo, begitu manisnya aturan Tuhan.
“Kami tak sehebat pasangan duo lain yang ramai peminat dan yang kerap menang mingguan. Tapi kami tetap cuba sehabis baik dengan cara kami setiap minggu dan hanya cabar kemampuan diri kami sendiri semaksima mungkin Ahad lalu.
“Ada yang tanya, kenapa Shiha mudah menangis di final tempoh hari? Ya, saya akui sangat sensitif kelmarin sebab hanya Tuhan yang tahu betapa berusaha dan penatnya saya dan pasukan untuk mencari idea yang terbaik untuk kedua-dua persembahan di pentas final,” katanya dalam satu hantaran di Intagram semalam.
Selain itu, kata Shiha, sebagai pasangan duo yang jarang memenangi pusingan mingguan, dia tetap mencuba sehabis baik sehingga akhirnya memilih melakukan persembahan berkonsep moden dan seni silat demi memartabatkan tradisi dan bangsa Melayu.
“Untuk bersilat di atas pentas final adalah satu risiko besar yang saya ambil tambahan pula saya tak pernah bersilat sebelum ini dan perlu belajar dalam masa beberapa hari sahaja.
“Tak fikir dah untuk rehat, saya terus belajar silat Isnin lalu. Dalam kelas,menangis-nangis sambil berlatih silat sebab saya rasa dah tak mampu nak buat. Semua langkah tak masuk dalam kepala.
“Mungkin sebab stres dan letih tambahan nak kena ingat langkah untuk lagu kedua jugak.
Tapi Alhamdulillah orang sekeliling saya sangat membantu dan tak berhenti beri semangat terutama emak,”katanya.
Dalam pada itu, Shiha juga memohon maaf kepada semua peminat yang hadir namun tidak dapat memasuki studio ketika final berlangsung.
“Saya nak minta maaf buat 50 lebih peminat yang tak dapat masuk studio tempoh hari sebab sudah full house.
“Sedih sebab ramai kena balik. Walau hanya 20 org lebih sahaja yang dapat masuk kelmarin, bagi saya awak semua tetap bagi semangat untuk kami atas pentas. Hanya Allah mampu balas kebaikan semua,”katanya.
Famili Duo musim keempat menyaksikan Shiha dan Ieda Zikir dijulang sebagai juara pada pertandingan akhir yang berlangsung di Studio NTV7 Glenmarie, di sini, kelmarin.
Kemenangan tersebut membolehkan mereka membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai RM100,000 dan trofi kejuaraan.