KUALA LUMPUR: Jenama fesyen terkenal, Minaz, mengakhiri perjalanan 15 tahunnya dengan pelancaran koleksi terakhir, Blooming Raya: The Final Chapter melambangkan kejayaan dan dedikasi jenama tersebut dalam industri fesyen tempatan, serta menjadi tanda penghormatan kepada pelanggan setianya.
Ketua Pegawai Eksekutif Minaz, Hafiza Abd Hamid berkata, keputusan menutup tirai jenama tersebut dengan koleksi Blooming Raya bukanlah satu pengakhiran, tetapi permulaan baharu untuk jenama tersebut.
“Rekaan kali ini membawa makna lebih mendalam. Ia bukan sekadar koleksi persalinan, tetapi lambang perjalanan, memori dan penghormatan kepada setiap wanita yang menjadikan Blooming Raya sebahagian daripada hidup mereka.
“Insya-Allah, ada yang lebih baik menanti. Ini adalah buah tangan istimewa terakhir daripada kami, dan ia menjadi asas kepada fasa baharu Minaz yang lebih cemerlang,” tambahnya.
Sebagai tanda penghormatan, dua figura ikonik, Rozita Che Wan dan Aaisyah Dhia Rana, kembali menjadi wajah kempen koleksi tersebut.
“Kami memilih mereka sekali lagi bukan hanya atas nama simbolik, tetapi sebagai penghargaan kepada perjalanan penuh emosi dan kenangan indah yang telah kami lalui bersama,” jelas Hafiza.
Sepanjang 15 tahun, MINAZ terkenal dengan rekaan elegan yang dihiasi lace, manik, dan rhinestones, menjadikannya sinonim dengan gaya mewah yang minimalis. Setiap tahun, jenama ini menampilkan koleksi baharu yang berjaya menawan hati peminat fesyen tempatan.
Bagaimanapun, keputusan untuk menamatkan koleksi Blooming Raya dibuat sebagai langkah strategik bagi membuka ruang kepada inovasi baharu.
“Ini adalah keputusan yang berat, tetapi perlu dilakukan demi masa depan jenama ini,” kata Hafiza.
Sebagai sebahagian daripada perayaan penutup ini, jenama tersebut memperkenalkan Minaz Gallery 2025, sebuah pameran eksklusif yang memaparkan perjalanan di sebalik pembikinan koleksi ikonik Blooming Raya.
“Pameran ini membolehkan pengunjung menyelami sejarah jenama kami, dari proses kreatif hingga sentuhan terakhir setiap rekaan. Ia juga menjadi platform penghargaan kepada pelanggan setia yang telah menjadi nadi kepada kejayaan Minaz selama ini.
“Galeri tersebut dibuka kepada orang ramai dan menjadi peluang istimewa untuk melihat sendiri warisan jenama yang telah mencipta legasi selama lebih satu dekad,” ujarnya.