PETALING JAYA: Peningkatan tarif import di India dan pemotongan levi eksport oleh Indonesia merupakan perubahan biasa dalam perdagangan minyak sawit global serta kesan yang bersifat sementara terhadap daya saing minyak sawit Malaysia.
Berdasarkan statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, eksport minyak sawit ke India meningkat sebanyak 16.4 peratus kepada 2.67 juta tan berbanding 2.29 juta tan pada Januari hingga Oktober 2023.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, eksport minyak sawit Malaysia ke India pada tahun ini merekodkan peningkatan dan daya saing yang baik.
Menurutnya, peningkatan eksport itu berlaku dalam keadaan di mana duti import India dan levi eksport Indonesia telah meningkat.
“Strategi kementerian untuk jangka panjang sudah mengambil kira perubahan struktur cukai di negara pengimport dan negara pesaing tanpa memerlukan tindakan intervensi yang bersifat reaktif.
“Malaysia sentiasa komited memastikan industri sawit kekal berdaya saing melalui pelan jangka panjang yang kukuh termasuk kerjasama perdagangan dan promosi produk seperti Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen Malaysia, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta Kementerian Perladangan dan Komoditi menyatakan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani kesan drastik terhadap industri sawit Malaysia.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang, membangkitkan isu itu susulan kenaikan cukai import 32 peratus oleh India dan pemotongan kadar levi eksport oleh Indonesia.
Mengulas kenaikan import itu, Johari berkata, ia adalah duti import efektif iaitu terma diguna pakai oleh kerajaan India yang mana kadar itu dinaikkan kepada 27.5 peratus berbanding 5.5 peratus untuk minyak sawit mentah (MSM).
“Bagi minyak sawit terproses pula, cukai dinaikkan kepada 35.75 peratus berbanding 13.75 peratus.
“Duti import efektif adalah duti import asas yang telah mengambil kira cukai lain seperti Agriculture Infrastructure Development Cess dan Social Welfare Cess,” katanya.
Johari berkata, perubahan kadar levi eksport oleh Indonesia turut memberi impak terhadap persaingan dalam pasaran global, namun Malaysia terus mengekalkan kedudukan dalam pasaran melalui pengeluaran dan eksport minyak sawit yang mampan dan berkualiti tinggi.
“Sebagai langkah jangka panjang, kementerian melalui MPOB akan terus memastikan daya saing industri melalui penyelidikan dan pembangunan serta penghasilan produk-produk nilai tambah tinggi seperti bioplastik dan biofuel untuk pasaran global,” katanya.-UTUSAN