TAIPING: Industri landskap negara disasarkan mampu menyumbang sehingga RM40 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2035 menerusi Dasar Landskap Negara 2.0.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ketika ini pembangunan industri landskap negara dianggarkan berjumlah RM4 bilion.
Katanya, kerajaan menyasarkan untuk membangunkan industri itu sehingga RM40 bilion dalam tempoh 10 tahun.
“Sekiranya misi ini berjaya, ia akan membuka puluhan ribu peluang pekerjaan.
“Malahan produk-produk landskap dapat dibangunkan dan dieksport ke negara luar, secara tidak langsung ia akan menjadi salah satu sumber pendapatan negara,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada pelancaran Dasar Landskap Negara 2.0 dan Majlis Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 untuk Jabatan Landskap Negara di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad.
Dasar Landskap Negara 2.0 mempunyai lima teras, 18 strategi dan 47 pelan tindakan yang menumpukan aspek pembangunan landskap mampan, perkembangan industri berkaitan landskap, pemangkin kesejahteraan rakyat dan pembudayaan gaya hidup sihat melalui landskap.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, industri landskap semakin berkembang dan penting sebagai gaya hidup masyarakat terutama dalam membeli rumah.
Katanya, projek perumahan yang mempunyai kawasan lapang dan hijau sentiasa mendapat sambutan memberangsangkan khususnya yang dilengkapi kemudahan sukan dan riadah.
“Apabila orang membeli kediaman, bukan hanya membeli rumah sahaja tetapi gaya hidup.
“Projek perumahan yang mempunyai kawasan lapang dan hijau sentiasa mendapat tumpuan dan sambutan yang amat mengalakkan khususnya apabila kawasan kediaman itu dilengkapi dengan pelbagai fasiliti dan riadah,” katanya.
Tambahnya, Jabatan Lanskap Negara bertanggungjawab untuk membangunkan dan menganjurkan ekspo pameran di dalam dan luar negara.
Menurutnya, sebanyak RM4.9 juta dihasilkan dari jualan Hari Landskap Negara yang diadakan tahun ini.
“Hasil itu termasuk daripada jualan bunga dan ini turut memberikan hasil kepada pengusaha, industri semaian benih, pokok -pokok dalam menaikkan KDNK negara.” katanya. – UTUSAN