SETIU: Penemuan ikan yang terdampar di pesisir Pantai Bari di sini, mencuri tumpuan orang ramai sehingga ada mengaitkannya sebagai petanda banjir besar akan melanda.
Namun, nelayan tempatan tidak mengangapnya demikian tetapi ia adalah ‘ikan baja’ yang dihanyutkan ombak.
Seorang nelayan, Deraman Jusoh, 66, berkata, kejadian itu sering disalah erti oleh orang ramai yang tidak pernah atau pertama kali melihatnya.
“Ia lazimnya adalah ikan yang masuk ke dalam pukat udang oke (udang putih) dan ikan-ikan yang dikatakan ‘ikan baja’ ini dibuang kembali ke laut oleh nelayan ketika sesi memilih hasil yang dipukat.
“Ikan dibuang inilah yang dihanyutkan ombak ke pantai dan ia sering berlaku ketika musim tengkujuh kerana pencarian udang oke ini hanya pada musim banjir,” katanya ketika ditemui di Pantai Bari di sini.
Deraman berkata, ikan-ikan yang dihanyutkan ke pesisir pantai itu adalah ikan yang masih segar dan ia sering dikutip pengunjung yang kebetulan berada di kawasan tersebut sekiranya kejadian itu berlaku.
Menurutnya yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun ke laut berkata, ikan-ikan yang dibuang kembali ke laut ini adalah ikan yang tidak memenuhi piawaian nelayan dan saiznya kecil.
“Bagi penduduk kampung yang tinggal di pesisir pantai ini, ikan-ikan ini mereka kutip dan menjadikanya ikan kering (ikan masin) yang mana ia boleh dimakan dan tidak memudaratkan.
“Sisa-sisa ikan yang terdampar ini mengalami proses penguraian dan haiwan seperti ketam mahupun haiwan-haiwan lain,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung pantai itu, Rosmunira Alokma, 51, berkata, kejadian ‘ikan terdampar’ di pesisir pantai pertama kali dilihatnya dan terkejut kerana berlaku di hampir sepanjang Pantai Bari.
“Sebelum ini saya hanya membaca kejadian ikan mendarat di pesisir pantai ini di akhbar mahupun media sosial tetapi pada kali ini dapat melihatnya sendiri meskipun hanya tinggal sisa-sisa.
“Jika tidak dimaklumkan penduduk setempat, saya fikir mungkin ia adalah petanda berlakunya bencana, sebagaimana kepercayaan orang zaman dahulu,” katanya. – UTUSAN