PETALING JAYA: Institut Jantung Negara (IJN) menafikan dakwaan bahawa pusat rawatan itu tidak menyediakan rawatan percuma dan meminta pesakit untuk mendapatkan rawatan di tempat yang lain.
IJN berkata, institut itu masih kekal sebagai entiti korporat yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dan ditaja Kementerian Kesihatan serta tetap komited untuk menyediakan rawatan berkualiti tinggi kepada semua pesakit.
“Pihak kami ingin memaklumkan bahawa mesej yang tersebar secara meluas melalui aplikasi WhatsApp, yang mendakwa bahawa IJN tidak lagi menyediakan rawatan percuma dan akan diswastakan adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
“Dakwaan tersebut juga menyatakan bahawa pesakit diminta untuk memindahkan rawatan mereka ke hospital lain.
“Kami ingin menegaskan bahawa maklumat ini adalah palsu. Tiada sebarang taklimat atau pengumuman rasmi yang dibuat oleh IJN berkaitan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan yang juga dikongsikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Tambah IJN, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mempercayai mesej tersebut dan tidak menyebarkannya lebih lanjut.
Sebarang pengumuman atau makluman rasmi hanya akan disalurkan melalui saluran rasmi IJN seperti Laman web rasmi IJN, Platform media sosial rasmi IJN dan Komunikasi secara terus dengan pesakit.
“Sekiranya anda mempunyai sebarang kebimbangan atau memerlukan penjelasan lanjut, sila hubungi kami di 032617 8200 atau emel ke [email protected].
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama dan keprihatinan anda dalam memerangi penyebaran maklumat palsu,” katanya. – UTUSAN