BUKIT MERTAJAM : Seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penoreh getah kini memerlukan dana sebanyak RM105,000 bagi tujuan rawatan penyakit kanser otak yang dihidapi anaknya.
Sam Run Samri, 12, dikesan menghidap penyakit itu sejak Februari tahun lalu dan ibunya, Ni Sraa Thawon, 45, memaklumkan, dana berkenaan diperlukan bagi menampung pemindahan sel stem autologus yang akan dijalankan dalam masa terdekat.
Menurut pengerusi badan amal, One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau, Sam Run yang berasal dari Klian Intan, Pengkalan Hulu, Perak itu pada mulanya mengalami sakit kepala, muka membengkak dan pengsan.
Katanya, anak kedua daripada empat beradik telah menjalani pembedahan dan kulit kepalanya telah diasingkan sebelum ubat disuntik ke dalam otaknya.
“Kemoterapi pusingan pertama telah dijalankan pada Mac tahun lalu termasuk rawatan elektroterapi sebanyak 30 kali dilakukan. Selain itu, 80 peratus tumor dapat dikeluarkan pada Ogos lalu melalui pembedahan kerana ia terletak terlalu dalam,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sui Hau berkata, ujian susulan awal tahun ini bagaimanapun mendapati, tumor terbabit telah membesar sebanyak tiga sentimeter (cm) dan sel kanser kembali berulang.
Tambahnya, doktor kemudiannya mengesyorkan pemindahan sel stem autologus (sel stem sendiri) selepas selesai kemoterapi.
“Kita memahami keadaan keluarga ini kerana ibu dan anak sulungnya yang berusia 15 tahun bekerja keras sebagai penoreh getah di samping perlu menyara dua lagi anaknya selepas kematian suami tujuh tahun lalu,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun 3201428817) atau melayari www.onehopecharity.org. – UTUSAN