Ibu tidak benarkan Muhammad Ikmal kembali jadi nelayan

Ibu tidak benarkan Muhammad Ikmal kembali jadi nelayan

HANITA Ismail (kiri) bersama Muhammad Ikmal Hakimi di Jeti Limbungan Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ibu kepada Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, tidak akan membenarkan anak lelakinya itu untuk meneruskan kerjaya sebagai nelayan selepas insiden dia hilang di laut selama enam hari sebelum dijumpai selamat di perairan Aceh, semalam.

Hanita Ismail, 47, berkata, dia mahu anaknya meneruskan tugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sahaja selepas ini kerana merasakan kerjaya nelayan tidak sesuai buat anaknya itu.

“Saya memang tidak akan benarkan dia (Muhammad Ikmal) untuk turun ke laut lagi selepas ini. Cukuplah dengan apa yang berlaku.

“Kawan-kawan yang bekerja dengan anak saya di dalam Rela juga telah datang hari ini. Mereka panggil dia bekerja semula bersama mereka,” katanya ketika ditemui di Jeti Limbungan Batu Maung, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai dua pemuda, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, yang juga berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran dan rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25, dilapor hilang selepas bot dinaiki hanyut dalam kejadian pada pukul 11.30 malam, Selasa lalu.

Kedua-dua mereka kemudiannya ditemukan selamat di perairan Aceh, semalam dan telah dibawa pulang ke pangkuan keluarga masing-masing kira-kira pukul 8 pagi ini.

Hanita berkata, dia juga hanya tidur selama dua jam semalam kerana tidak sabar untuk bertemu dengan anaknya itu.

“Saya dapat tahu dia selamat pukul 10 pagi semalam, saya menangis syukur sebaik sahaja dapat makluman bahawa anak saya selamat kerana sepanjang dia hilang di laut saya tidak menangis.

“Saya juga ada bermimpi pada malam Sabtu lalu bahawa dia berada dalam keadaan selamat di sebuah pondok dan dia dikelilingi ramai orang.

“Rupanya orang yang ramai di keliling dia itu adalah nelayan dari Aceh, saya sangat bersyukur dia dijumpai selamat tetapi untuk dia jadi nelayan selepas ini memang saya tidak benarkan,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada Nor Hasrul, Noor Azilah Jamaluddin, 44, pula berkata, dia akan membenarkan Nor Hasrul untuk turun semula ke laut kerana menjadi nelayan adalah minat anaknya.

“Cuma saya mahu dia tingkatkan keselamatan sebelum turun ke laut, apa yang berlaku adalah pengalaman berharga kepada mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN