KUALA LUMPUR: Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) menggesa kerajaan Malaysia dan Kemboja menyelamatkan seorang rakyat Malaysia yang dipukul dan dipaksa menipu selain menjadi mangsa sindiket di negara itu.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa dikenali sebagai Goh telah diarah menjadi buruh paksa dan scammer, selain diseksa kerana gagal mencapai sasaran kerja yang ditetapkan.
Katanya, mangsa dipercayai masuk ke Kemboja melalui sempadan Bukit Kayu Hitam pada 24 Oktober sebelum mula tidak dapat dihubungi keluarganya bermula 28 Oktober.
“Keluarga mangsa hanya mendapat maklumat mengenai keadaannya pada 3 Disember melalui seorang rakannya dikenali sebagai ‘Small Ghost’ yang juga berada di Kemboja.
“Melalui satu panggilan video, rakannya itu memaklumkan bahawa Goh telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Walau bagaimanapun, status ‘Small Ghost’ sebagai agen atau turut menjadi mangsa, masih belum dipastikan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, lokasi terkini Goh dikesan berada di sempadan Thailand-Kemboja selepas dia berkongsi lokasi melalui aplikasi telefon.
“Bagaimanapun, keluarga Goh bernasib baik kerana sindiket tersebut tidak meminta wang tebusan seperti yang biasa berlaku dalam kes serupa,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Ng Eng, 60, merayu pihak media untuk menyebarkan perkara tersebut selain memohon bantuan kerajaan kedua-dua negara untuk menyelamatkan anaknya.
Katanya, dia membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam di Johor pada 21 Disember selepas menerima panggilan video dari anaknya yang menunjukkan keadaan Goh kini lebih kurus selain banyak kesan luka serta lebam di muka dan badan.
“Sebelum ini, di Malaysia anak saya bekerja sebagai pemandu peribadi kepada warganegara China dan Indonesia sebelum terpedaya dengan tawaran kerja sebagai pemandu di Kemboja yang menawarkan gaji sebanyak AS$5,000 sebulan.
“Saya yakin dia buat semua ini sebab nak bantu saya sebab itu dia terima tawaran kerja itu,” katanya. – UTUSAN