SETIU: Hasrat seorang ibu berpantang di rumah kakaknya di Kampung Balik Bukit, di sini, bertukar detik cemas apabila kediaman mereka dilanda banjir sejak Rabu lepas.
Noratikah Mohd. Rosdi, 34, berkata, situasi itu menyebabkannya terpaksa meneruskan pantang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Permaisuri bersama bayinya, Nur Fatima Aisya Amir Zeb yang baru berusia 25 hari.
“Saya tidak menyangka pengalaman saya berpantang anak sulung akan menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan apabila terpaksa berpantang di PPS.
“Walaupun begitu tapi saya bersyukur kerana ada tempat berlindung di saat musibah melanda dan saya bersama anak selamat,” katanya ketika ditemui di PPS SK Permaisuri di sini, hari ini.
Ujarnya, meskipun bertindak keluar awal dari rumah sebelum paras air semakin tinggi tetapi ibu dan anak itu terpaksa berteduh di dalam kereta lebih lima jam sehingga PPS terdekat dibuka.
Katanya, mereka turut berdepan detik cemas apabila terpaksa mengharungi air di beberapa kawasan dengan menaiki kereta ketika dalam perjalanan ke PPS.
“Bagi saya agak sukar sedikit berpantang kali pertama ini apabila terpaksa menguruskan anak sendiri apabila suami tidak dapat pulang ekoran dia bekerja di Johor.
“Tetapi mujurlah kakak dan anak-anak saudara banyak membantu dan ketika di PPS pun segala keperluan semuanya mencukupi,” katanya.
Noratikah berkata, dia turut dimaklumkan kediamannya di Kampung Guntung turut dinaiki air dan dirinya tidak sempat membuat persiapan berikutan berpantang di rumah kakaknya di daerah yang sama.
Ujarnya, meskipun begitu dia mahu menumpukan sepenuhnya pada kesihatan diri dan anak, selain meneruskan berpantang terlebih dahulu dengan menyerahkan urusan rumah kepada kakaknya. – UTUSAN