KANGAR: Pasar lokal bertempat di Street Art, pekan lama di sini menarik perhatian dengan penampilan para peniaga dan pengunjung yang berpakaian sekolah sekali gus mengimbau kembali nostalgia zaman persekolahan.
Bertemakan kembali ke sekolah edisi ibu bapa, pasar lokal berkenaan yang berlangsung dari 25 sehingga 29 Disember itu mendapat sambutan cukup memberasangkan khususnya sempena cuti Krismas dan hujung minggu.
Suasana tersebut juga mengimbau kenangan di pekan lama Kangar tersebut sekitar era 90 dan 2000-an itu sentiasa menjadi lokasi tumpuan remaja sekolah berkumpul.
Pasar lokal tersebut membabitkan penglibatan kira-kira 21 peniaga atau vendor khususnya dari negeri ini yang sangat memberikan kerjasama memakai pakaian sekolah sekali gus menghidupkan tema berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganjurnya, Juliana Arianti Armain berkata, tema penganjuran pasar lokal kali ini iaitu kembali ke sekolah adalah bagi mengembalikan kenangan atau nostalgia mereka yang kebanyakanya sudah bergelar ibu bapa.
“Alhamdulilah sambutan yang diterima sangat baik malah pengunjung juga berkongsikan kenangan mereka semasa zaman sekolah dahulu,” katanya.
Seorang pengunjung, Zaim Ridzuan,39, berkata, pekan lama Kangar menyimpan 1,001 kenangan manis ketika zaman remajanya yang menjadi tempat mereka berkumpul pada masa itu.
Katanya, keadaan itu sudah tidak ada sekarang ini di mana pekan lama Kangar sudah sunyi sepi dan penganjuran pasar lokal dengan pelbagai tema menarik setiap dua minggu itu kembali menghidupkan suasana di kawasan berkenaan. – UTUSAN