IPOH: Kerajaan Negeri Perak mahu bertemu dengan kumpulan ibu bapa di negeri ini bagi mendedahkan kepada mereka mengenai potensi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk anak-anak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya akan turun ke setiap daerah di negeri itu untuk mendekati golongan ibu bapa bermula tahun depan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Malah katanya, Kerajaan Negeri juga telah memohon peruntukan daripada Pusat dengan anggaran RM10 juta bagi menjayakan langkah tersebut.
“Yang penting mesej kena sampai bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga kepada ibu bapa.
“Sebab kita terlampau berorientasikan peperiksaan. Hendak 10 A sahaja. Yang tak dapat 10 A, dia rasa hidup ini sudah tidak bermakna.
“Kita nak beritahu yang 10 A itu menjadi doktorlah. Yang lain itu ada peluang di tempat-tempat TVET yang kita sediakan,” katanya kepada pemberita semasa Jelajah Akhir Program Tanya Cikgu Saarani di sini hari ini.
Saarani juga berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri untuk mendapatkan maklumat terkini tentang kemahiran yang diperlukan.
“Perjumpaan ini sangat penting. Kita tidak mahu nanti pelajar-pelajar sudah terima nasihat untuk masuk TVET, tetapi dia masuk salah bidang yang tidak diterima oleh industri,” katanya.
Jelasnya, negeri Perak bakal menawarkan kerjaya yang banyak dalam bidang TVET melalui pelancaran Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim; Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP).
Saarani juga berkata, bidang TVET juga bukan terhad kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja, malah boleh diceburi oleh lepasan ijazah yang memerlukan kemahiran tambahan yang diperlukan oleh industri. – UTUSAN