KUANTAN: Bekas peragawati terkemuka tanah air, Zahnita Wilson tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja keluar dari Mahkamah Majistret di sini selepas mahkamah membenarkan permohonannya untuk mendapat perintah perlindungan interim (IPO).
Ia diputuskan Majistret Wahida Zainal Abidin dalam prosiding hari ini.
IPO adalah peruntukan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi memberi perlindungan perundangan sementara untuk mangsa, anak-anaknya dan saudara maranya.
Pada 5 Disember lalu, suami Zahnita, Abd. Zackery Ghouse Abd. Ghani, 46, didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas pertuduhan mencederakan bekas pelakon tersebut.
Perintah mahkamah itu bagi menghentikan suami Zahnita yang menderanya daripada meneruskan kelakuan ganas terhadap mangsa.
Zahnita ketika ditemui sebak di atas keputusan yang diputuskan Mahkamah Majistret tersebut.
“Ia merupakan kebebasan buat saya dan anak-anak,” katanya yang mempunyai empat anak berusia antara empat tahun hingga 12 tahun. – UTUSAN