Hutang hampir RM1 juta gagal dilunaskan, MARA fail kebankrapan terhadap Che Ta, anak lelaki - Utusan Malaysia

Hutang hampir RM1 juta gagal dilunaskan, MARA fail kebankrapan terhadap Che Ta, anak lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rozita Che Wan, 51, bersama anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, difailkan kebankrapan oleh bahagian undang-undang Majlis Amanah Rakyat (Mara) kerana gagal melunaskan pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.

Proses pemfailan kebankrapan itu dilakukan bagi mendapatkan semula wang pinjaman yang berjumlah RM960,000 kerana pelakon itu gagal melunaskan hutang dalam tempoh tujuh tahun sehingga membawa kes itu ke mahkamah.

Difahamkan, pinjaman Mara berjumlah RM960,000 yang dibuat syarikat milik pelakon itu, RCW Worldwide Sdn Bhd dengan Rozita dan anak lelakinya itu sebagai penjamin.

Malah, Mara sudah memfailkan notis kebankrapan kepada Rozita yang lebih mesra disapa Che Ta dan anaknya itu pada Julai tahun lalu namun, ditarik balik kerana wujud isu teknikal sebelum meneruskan tindakan writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta pada Selasa lalu.

Menurut pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tindakan kebankrapan kali ini hanya akan dihentikan jika pelakon terbabit membayar sepenuhnya pinjaman itu.

Mara juga tidak lagi memberi pelanjutan tempoh pembayaran hutang terbabit selepas mahkamah membuat keputusan muktamad mengenainya.

Tambah beliau, tindakan itu adalah proses sama yang diambil oleh Mara terhadap mana-mana peminjam yang enggan atau gagal melunaskan hutang mereka seperti terkandung dalam perjanjian ketika membuat permohonan.

“Saya sudah mengarahkan bahagian undang-undang Mara mengambil tindakan muflis terhadap pelakon itu kerana kita sudah memberi tempoh secukupnya untuk beliau melunaskan hutang pinjaman hampir RM1 juta yang dibuatnya sejak tujuh tahun lalu.

“Tiada siapa boleh menghalang tindakan Mara ini kerana ia perintah mahkamah. Sebenarnya, kita tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam yang culas atau memilih bulu dalam tindakan dilakukan.

“Ini kerana Mara terikat dengan prosedur dan proses yang ketat menurut lunas undang-undang, malah sebelum sebarang tindakan perundangan dilakukan, nilai ‘ihsan’ juga diutamakan dengan memberi ruang kepada peminjam yang bermasalah untuk datang ke Mara berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang mereka,” katanya.

Tambah Asyraf lagi, tindakan perundangan boleh diambil jika semua usaha dilakukan tidak diendahkan peminjam kerana Mara ingin memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain pula.

Beliau berkata, Mara juga pernah berunding dengan pelakon itu supaya penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman dapat dilakukan jika mereka menghadapi masalah.

“Bagaimanapun, bagi kes pelakon ini, saya difahamkan dia tidak memberi kerjasama sepatutnya, malah kes berlarutan lama kerana banyak kali mahkamah ditangguhkan kerana dia membuat pertukaran peguam,” katanya.

Mengulas mengenai serbuan yang dibuat di kediaman pelakon itu pada Selasa lalu, Asyraf berkata, itu susulan alamat yang tertera pada perjanjian ditandatangani dengan Mara membabitkan rumah berkenaan.

“Nilai sebenar barangan yang disita dari rumah itu pula hanya diketahui selepas lelongan dibuat nanti. Setakat ini, jumlah itu jauh lebih rendah daripada hutang sebenar yang perlu dibayarnya kepada Mara,” katanya.

Menurut sumber, Che Ta telah menjadikan anaknya sebagai penjamin ketika membuat pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat di Mara Selangor selain simpanan tetap RM80,000 dijadikan cagaran.l yang difahamkan sudah dicairkan.

“Tidak dinafikan pelakon itu pernah beberapa kali memohon untuk mengurangkan bayaran pinjaman dan membuat penjadualan semula, tetapi selepas itu dia senyap begitu saja.

“Penghakiman terhadap Rozita dan anaknya dibuat mahkamah pada Mei tahun lalu. Peguam Rozita juga ada menghubungi MARA tetapi arahan yang diterima ialah pelakon terbabit perlu melunaskan hutang itu sepenuhnya,” katanya.

Sumber berkata, antara barangan yang disita di rumah Che Ta pada Selasa lalu termasuklah sebuah kereta, perabot, kasut dan peralatan rumah.

Katanya, mereka hanya menunggu tarikh daripada mahkamah untuk melakukan lelongan barangan berkenaan yang akan ditentukan kemudian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya