PASIR MAS: Sebahagian mangsa banjir di Kampung Serongga di sini, berdepan ‘tekanan’ apabila peralatan elektrik dan kelengkapan rumah yang dibeli secara ansuran rosak ditenggelami air, baru-baru ini.
Seorang penduduk, Mariani Abdul Manap, 38, berkata, peti sejuk dan tilam antara barangan yang dibeli secara ansuran untuk kegunaan serta keselesaan keluarganya.
“Selepas banjir melanda tahun lalu, saya berbelanja hampir RM10,000 untuk menggantikan kelengkapan baharu rumah selepas ditenggelami air.
“Tahun ini banjir lagi, malah lebih buruk berbanding tahun lalu apabila air mencecah paras bumbung. Tiada satu pun barangan yang dapat diselamatkan, harta benda ditenggelami banjir,” katanya ditemui pada agihan pek makanan Econsave Cash and Carry Sdn. Bhd di sini, kelmarin.
Mariani berharap masalah banjir dapat diselesaikan supaya penduduk tidak terus berdepan kerugian setiap khususnya apabila tiba musim tengkujuh.
Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, sebanyak 150 keluarga di Kampung Serongga menerima pek makanan.
Katanya, Pasaraya Econsave turut mengagihkan 30 tan metrik pakaian terpakai kepada mangsa banjir di empat negeri iaitu Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
“Turut bersama kami dalam agihan pek makanan ini melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Yayasan Al Anie, Yayasan Ikram Malaysia, Pemuda Gema Kelantan dan Yayasan Pendidikan Islam Aman,” ujarnya.
Pada masa sama, kata beliau, pihaknya turut bersedia untuk berdepan dengan banjir gelombang kedua dan ketiga sebagaimana yang diramalkan akan berlaku.
“Kami telah bersiap sedia barangan makanan untuk diagihkan kepada pihak yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN