KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah mempunyai perasaan marah terhadapnya ekoran beberapa perkara.
Pertama berhubung hasrat bekas Presiden UMNO itu untuk menukar Ahmad Husni ke kementerian lain dan keduanya berkait permintaan anak bekas Ahli Parlimen Tambun itu.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (MSA): Seingat saya, sewaktu Ahmad Husni datang ke mahkamah memberi keterangan, saya lihat caranya memberi keterangan seperti orang yang marah. Kenapa beliau marahkan awak?
Datuk Seri Najib Razak (NR): Saya tidak mahu membuat spekulasi tetapi saya percaya ia disebabkan saya ingin menukarnya ke kementerian lain yang mana ia adalah perkara biasa di kalangan ahli kabinet. Saya juga percaya dia tidak puas hati kerana beliau ingin kekal menjadi Menteri Kewangan Kedua.
MSA: Awak nak tukarnya ke mana?
NR: Ada dua pilihan ketika itu. Sama ada Menteri Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri atau Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
MSA: Ada beliau beritahu rasa tidak puas hatinya berhubung penukaran itu?
NR: Dia datang berjumpa dengan saya membawa surat perletakan jawatan.
MSA: Saya ingin bertanya soalan spesifik, adakah (kemarahan) berkait dengan anaknya?
NR: Ya, ada permintaan daripada anaknya tetapi permintaan tersebut tidak dipenuhi.
MSA: Permintaan berkenaan apa?
NR: Berkaitan penswastaan lebuh raya, kalau tak silap saya. Saya kena semak semula.
MSA: Jadi awak dipersalahkan?
NR: Apabila awak berada di atas, awak akan dipersalahkan untuk semua perkara walaupun kadangkala, sistem tidak membenarkan awak untuk memenuhi permintaan semua orang.
Selain itu, Najib menyatakan beliau merasa amat kecewa apabila mendengar keterangan Ahmad Husni di mahkamah.
“Saya sendiri memilihnya untuk menjadi Menteri Kewangan II pada April 2000, satu jawatab yang menggambarkan keyakinan dan kepercayaan saya terhadapnya. Sewaktu saya menjadi Presiden UMNO, saya lantik beliau sebagai Bendahari UMNO, satu kedudukan yang turut menggambarkan keyakinan terhadap keupayaan dan integritinya.
“Keputusan-keputusan ini tidak dibuat dengan mudah kerana ia berlandaskan kepercayaan bahawa beliau akan setia berkhidmat untuk negara dan parti.
“Tetapi kini, apabila mendengar pelbagai tuduhan daripada seseorang yang letakkan kepercayaan dengan memberikan jawatan sedemikian, adalah sesuatu yang menyakitkan. Amat sukar untuk mententeramkan (hati) apabila mendengar keterangan daripada Datuk Seri Husni, (seseorang) yang saya pernah letakkan kepercayaan penuh sebelum ini,”ujar Najib.
Selain itu, Najib memberitahu, keterangan Ahmad Husni di mahkamah tidak disokong oleh mana-mana bukti dokumen dan `terlepas pandang’ akan tindakannya yang tidak mengemukakan sebarang bantahan berhubung isu berkaitan 1MDB sewaktu mesyuarat Kabinet.
“Berdasarkan dokumen yang telah dinyahklasifikasi oleh pendakwaan mengikut Akta Rahsia Rasmi, jelas menunjukkan bahawa Datuk Seri Husni (ketika) menyertai mesyuarat (ketika) membincangkan mengenai 1MDB tetapi tidak menyuarakan sebarang bentuk protes atau bantahan.
“Merujuk kepada dokumen yang merujuk kepada perkara-perkara berkait 1MDB, (jelas) menunjukkan persetujuan Datuk Seri Husni termasuk catatan yang menyatakan beliau bersetuju dengan kandungannya. Perkara ini ditimbulkan kepada Datuk Seri HUsni kerana ia termasuk dalam tanggungjawabnya sebagai Menteri Kewangan II,” ujar Najib.
Najib berkata demikian ketika menyambung membaca penyataan saksinya setebal 525 muka surat pada hari ketiga beliau membela diri atas atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung petang ini. – UTUSAN