HULU TERENGGANU: Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa buah kampung di daerah ini dilanda banjir yang menyaksikan ada penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Peneh, Che Khalid Jusoh berkata, setakat pukul 4.30 petang ini, seramai 27 penduduk daripada 10 keluarga di kampung berkenaan berada di PPS setelah rumah mereka dinaiki air.
“Penduduk mulai berpindah bermula pukul 3 petang ini. Melihat kepada keadaan, banjir berlaku mungkin kerana terjadi kepala air di sebelah hulu sungai.
“Paras air menunjukkan penurunan petang ini namun memandangkan hujan masih berterusan, kita siap sedia hadapi sebarang kemungkinan berlakunya pertambahan jumlah mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Selain itu, di Kampung Lubuk Periuk seramai 20 mangsa melibatkan lima keluarga telah berpindah ke PPS. – UTUSAN