KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap seorang duda di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini, Jumaat ini, ditangguh sementara berikutan terdapat pemohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah.
Lelaki tersebut yang bekerja tukang rumah dan mempunyai lima anak merupakan individu pertama dijatuhkan hukuman sebat di khalayak ramai setelah melakukan khalwat berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, permohonan semakan tersebut difailkan oleh agensi berkaitan untuk memperkemas pelaksanaan hukuman tersebut supaya dapat dijalankan dengan lancar.
“Oleh yang demikian, perintah pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara tersebut adalah digantung sementara, menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
“Permohonan semakan adalah merupakan perkara biasa dalam sistem kehakiman. Justeru itu, orang ramai diminta menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, permohonan semakan tersebut perkara biasa dalam sistem kehakiman dan orang ramai diminta menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
“Saya juga ingin menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak Mahkamah Syariah.
Ketika ditanya sama ada wujud tekanan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muhammad Khalil berkata, penangguhan pelaksanaan hukuman syariah itu tidak mempunyai kaitan dengan pihak berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, hukuman sebat tersebut tetap dilaksanakan di lokasi sama dalam tempoh terdekat.
“Hukuman sebatan ini adalah satu hukuman sebatan syariah bagi kesalahan jenayah syariah takzir dan antara tujuan adalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan individu yang lain,” ujarnya.
Pada 21 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang duda berusia 42 tahun menjadi individu pertama di Terengganu dijatuhkan hukuman enam sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid kerana kesalahan khalwat berulang di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.
Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Berdasarkan enakmen itu, kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman sebat hingga enam kali, denda hingga RM5,000 atau penjara tiga tahun. – UTUSAN