KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan hukuman sebat atas kesalahan khalwat yang berjalan semalam adalah satu lagi langkah penting dalam melaksanakan hukum syariah di Terengganu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan hukuman sebat yang berlangsung di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, berjalan lancar dengan penuh tertib dan mematuhi segala prinsip keadilan Islam.
“Saya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan ini, termasuk Mahkamah Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Penjara Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.
“Penghargaan juga diucapkan kepada pihak masjid, pasukan kesihatan dan para pegawai penguat kuasa. Kecekapan dan kesungguhan mereka memastikan bahawa proses ini dilaksanakan dengan telus, adil dan penuh hikmah,” katanya dalam satu hantaran di paman sosial Facebooknya.
Ahmad Samsuri berkata, hukuman itu bukanlah bertujuan menghukum semata-mata tetapi sebagai satu bentuk pendidikan, pengajaran dan pencegahan kepada masyarakat agar lebih dekat dengan nilai-nilai Islam.
“Terengganu kekal komited menjunjung amanah ini dengan memastikan segala yang dilakukan selaras dengan syariat Allah dan undang-undang negara.
“Semoga usaha ini menjadi contoh pelaksanaan syariah yang membawa rahmat kepada seluruh rakyat,” katanya.
Semalam, Mohd. Affendi Awang, 42, yang juga tukang
rumah dari Kerteh, Kemaman menjadi individu pertama dikenakan hukuman sebat di khalayak ramai dan denda RM3,000 selepas Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Hukuman sebat tersebut dijalankan ke atas lelaki itu setelah Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail membuat keputusan hukuman itu dalam prosiding pada 20 November lalu.
Tertuduh didapati bersalah berkhalwat kali ketiga dengan wanita berbeza berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman kira-kira pukul 1.40 pagi pada 16 Jun lalu. – UTUSAN