KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan hukuman sebat secara terbuka yang dijalankan esok adalah manifestasi komitmen Kerajaan Negeri Terengganu dalam menjunjung syariat Islam.
Ketua Dewan Ulama Pas Negeri Terengganu, Ismail Osman berkata, hukuman sebat itu yang berlangsung di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, selepas solat Jumaat esok bertujuan mendidik pelaku serta memberi peringatan kepada masyarakat.
Katanya, ia bukan menimbulkan penderitaan atau hanya bertujuan memalukan semata-mata.
“Kami mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Mahkamah Syariah Terengganu atas keberanian dan komitmen dalam melaksanakan hukuman ini dengan penuh hikmah.
“Kami meletakkan harapan yang tinggi kepada institusi ini agar terus menjadi teras keadilan yang menjaga kesucian hukum Allah di negeri ini,” katanya hari ini
Terdahulu, media melaporkan, seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang bakal dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.
Hukuman itu diputuskan mahkamah selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Ismail berkata, pelaksanaan hukuman itu mencerminkan komitmen berterusan Dewan Ulama Pas Negeri Terengganu terhadap usul pemerkasaan syariah yang diluluskan dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-70 lalu.
“Langkah ini memperkukuh kedudukan undang-undang syariah melalui penubuhan jawatankuasa dan sekretariat khusus untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.
“Kami juga menyeru seluruh rakyat Terengganu untuk menerima pelaksanaan hukuman syariah ini dengan hati terbuka, sebagai langkah mendidik dan memelihara keharmonian masyarakat,” katanya. – UTUSAN