Hukuman penjara PU Azman bertambah 14 bulan lagi

Hukuman penjara PU Azman bertambah 14 bulan lagi

PU Azman
PU Azman diiringi polis meninggalkan mahkamah selepas menghadiri prosiding di Mahkamah Majistret, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tambahan 14 bulan lagi hukuman penjara dikenakan terhadap PU Azman oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki, dua tahun lalu.

Hukuman itu dikenakan dan berkuat kuasa hari ini selepas PU Azman atau nama sebenarnya Azman Shah Alias mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid.

Mengikut pertuduhan, dia yang dikenali sebagai Cik Man, 43, dituduh melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan menyentuh kemaluan seorang remaja berusia 19 tahun pada 10 Jun lalu dekat sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, Klang.

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun.

Peguam mewakili beliau, Fahmi Adilah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan faktor mitigasi dikemukakan kepada mahkamah termasuk status anak guam sebagai seorang pendakwah selain berasa kesal atas perbuatannya itu.

“Tertuduh kini menjalani hukuman penjara di Kajang sejak 27 September lalu. Sebelum ditangkap, anak guam merupakan seorang penceraman selebriti yang memberikan ceramah motivasi. Pengakuan salah dibuat oleh tertuduh pula didorong oleh faktor keinsafan.

“Selain itu, tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, justeru untuk menjaga kepentingan awam, anak guam berjanji akan berubah untuk menjadi orang yang lebih baik jika diberikan ruang,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Rasyidah Murni Adzmi dalam hujahan memohon agar mahkamah mengambil kira faktor status PU Azman yang mana kesalahan dilakukan itu sepatutnya memberi pengajaran kepada orang ramai.

“Pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh. Pengakuan salah bukan salah satu sebab untuk diberikan diskaun kepada tertuduh. Faktor hukuman ringan bukan mitigasi yang boleh dipandang mudah.

“Mahkamah perlu mengambil kira keseriusan kesalahan dan kepentingan awam. Sebagai seorang pendakwah selebriti perkara itu tidak sepatutnya dilakukan terhadap pengadu yang masih berumur 18 tahun ketika itu,” jelasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, PU Azman dikenakan hukuman penjara selama 24 tahun dan dua sebatan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Noridah Adam selepas didapati bersalah dua pertuduhan amang seksual kepada remeja lelaki berusia 17 tahun pada 27 September lalu.

Dia didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek kira-kira pukul 9.15 malam pada 10 Jun lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377d Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun sekiranya disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN