IPOH: Perak melihat ramai pemimpin Singapura yang mempunyai pertalian keluarga di negeri ini sebagai kelebihan dalam menjalinkan hubungan rapat dengan negara jiran itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada segi sejarah kebanyakan orang tua pemimpin Singapura berasal dari negeri ini.
“Kebanyakan mereka datang berkunjung ke mari. Selain daripada berkunjung menziarahi rakan taulan dan keluarga mereka, mereka juga membawa hubungan baik di antara pemimpin kerajaan negeri Perak dengan pemimpin kerajaan Singapura,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Dr. Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) yang bertanyakan tentang lawatan delegasi Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon ke Perak pada 8 Oktober 2024 lalu.
Mengikut rekod, Presiden pertama Singapura, Yusof Ishak adalah anak kelahiran Taiping dan beliau dilantik sebagai Presiden negara itu dari tahun 1965 hingga 1970 selain merupakan pengasas akhbar Utusan Melayu.
Sesi bersama duta jiran itu berlangsung selama hampir dua jam dan antara perkara dibincangkan adalah potensi dan peluang kerjasama pelaburan melibatkan projek berkepentingan tinggi di Perak.
Kata Saarani, hubungan baik Perak dengan negara-negara serantau adalah penting terutama daripada segi ekonomi seperti Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
“Kita mesti ada hubungan baik dengan jiran-jiran selain IMT-GT kerana kita ada keperluan untuk berdagang dengan mereka, terutama apabila kita ada hasil bumi nadir bumi bukan radioaktif (NRREE), maka keperluan berdagang adalah penting sebab kita buat keputusan tidak boleh eksport secara mentah, melainkan sebagai produk diproses,” katanya. – UTUSAN