PETALING JAYA: Cadangan kenaikan kadar tarif elektrik baharu sebanyak 14 peratus bakal merencatkan sektor pelancongan dan persiapan negara bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa, Mahadzir Mansor berkata, kenaikan tarif akan meningkatkan tekanan kos operasi kepada sektor perhotelan, restoran dan tempat pelancongan terpaksa menaikkan harga untuk menampung kos.
Katanya, keputusan itu bakal menjejaskan persiapan sektor pelancongan khususnya perhotelan untuk menghadapi Tahun Melawat Malaysia yang berlangsung dalam setahun lagi.
“Ini semua menjadikan Malaysia kurang kompetitif sebagai destinasi pelancongan dan saya membantah sekeras-kerasnya cadangan menaikkan tarif elektrik,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan tarif baharu elektrik yang dikatakan membabitkan kenaikan hingga 14 peratus masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan.
Ketua Pegawai Kewangan (Divisyen Kewangan Kumpulan) Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Nazmi Othman berkata, buat masa ini, pihak kerajaan sedang dalam semakan dan kajian.
Mengulas lanjur, Mahadzir berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperoleh keuntungan sebanyak RM1.45 bilion dengan peningkatan empat kali ganda, menunjukkan syarikat itu semakin kukuh dan tiada keperluan untuk menaikkan kadar tarif elektrik.
“TNB sepatutnya menggunakan keuntungan untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan kerana dana mencukupi menampung keperluan tanpa membebankan rakyat.
“Cadangan menaikkan tarif akan membebankan rakyat yang sedang menghadapi tekanan kos sara hidup serta persediaan hadapi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.-UTUSAN