KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini telah mengambil keterangan ibu bapa dan doktor berhubung isu mayat bayi lelaki ‘disimpan’ dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang, Selangor selepas ibu bapanya tidak menjelaskan bayaran bil.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini seramai empat orang dirakam percakapan iaitu ibu bapanya dan dua doktor semalam.
“Beberapa individu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan polis akan memanggil beberapa individu termasuk pihak hospital berhubung isu mayat bayi lelaki ‘disimpan’ dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang, kerana ibu bapanya tidak menjelaskan bayaran bil.
Hussein dilaporkan berkata, polis menerima satu laporan daripada bapa kepada bayi terbabit semalam.
Beliau berkata, laporan itu diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sedang menjalankan siasatan secara mendalam untuk menentukan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah dalam isu ini serta menanganinya dengan sebaik mungkin,” katanya.- UTUSAN