TIDAK ramai pengarah yang berani mementaskan karya agung Sasterawan Negara ke-7, Datuk Noordin Hassan. Hal itu kerana setiap karya yang dihasilkan tokoh eksperimentalisme pertama negara itu bukan sahaja berat, malah tinggi mutu bahasanya.
Namun, pengarah teater prolifik, Dr. Marlenny Deen Erwan, menyahut cabaran dengan mementaskan karya Sirih Bertepuk, Pinang Menari yang dipersembahkan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama tiga hari sejak Jumaat lepas.
Maklum dengan ketinggian nilai karya agung tersebut, Dr. Marlenny bersetuju menggalas tugas selaku pengarah teater itu dengan syarat, pemainnya, perlulah dalam kalangan pelakon yang berpengalaman dalam bidang pementasan.
“Noordin bukan penulis realism, yang menulis drama-drama ruang tamu atau kronologi. Sebaliknya, setiap penulisannya bersifat eksperimental dengan gaya yang tersendiri. Disebabkan itu, tidak ramai pengarah yang berani pentaskan.
“Disebabkan itu, sebelum diberi tanggungjawab untuk mengarah teater ini, saya meletakkan syarat agar pelakonnya, meskipun ditetapkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam kalangan yang ada nama, dipilih juga dalam kalangan pemain teater.
“Pada saya, latar belakang teater penting untuk memilih pelakon bagi pementasan ini kerana saya perlukan mereka yang berkemampuan untuk membuat interpretasi dan memahami serta sedia terikat dengan disiplin pementasan memandangkan karya yang kami persembahkan ini sifatnya bukan calang-calang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sirih Bertepuk, Pinang Menari merupakan inisiatif Jabatan Kesenian Kebudayaan Negara (JKKN) mengisahkan Sultan Idris Bistari yang berlayar ke luar negeri dan menyerahkan kuasa pemerintahan Indera Mahkota kepada anakandanya, Putera Zahiruddin Shah.
Selain Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, pementasan Sirih Bertepuk, Pinang Menari turut dijayakan 21 pelakon lain antaranya Jay Iswazir, Akmal Ahmad, Farhana Fahizam, Eliza Mustafa, Azman Hassan, Haf Dzi Sofi dan Shasha Fairus.
Hadir menonton teater itu pada Sabtu lepas adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, Sasterawan Negara ke-10 Datuk Dr. Anwar Ridhwan serta Sasterawan Negara ke-15, Datuk Rahman Shaari.
PELIHARA KEASLIAN KARYA
Dr. Marlenny mengambil pendekatan ‘tidak mengusik’ sedikit pun keaslian karya Noordin, menyajikan 100 peratus keaslian naskhah Sirih Bertepuk, Pinang Menari kepada penonton teater itu.
Katanya, ketinggian nilai karya agung itu perlu dihormati dan dibiarkan hidup secara seadanya.
“Tiada adaptasi atau improvisasi dilakukan. Apa yang penonton saksikan dalam pementasan itu, itulah susunan yang asal.
“Pementasan ini lama, sekitar dua jam 15 minit. Saya maklum, akan ada babak-babak yang kelihatan perlahan disebabkan durasinya yang panjang. Kalau diikutkan, boleh sahaja saya ubah dan pendekkan.
“Tapi saya hormati dengan ketinggian mutu bahasa karya ciptaan Noordin Hassan. Kalau diubah, saya khuatir penulisan yang disampaikan, terjejas.
“Ya, bukan mudah untuk penonton bertahan menonton sebuah pementasan yang panjang tempohnya. Tapi, saya berpegang kepada pendirian bahawa, adakalanya, kita perlu paksa audiens mengikuti, lebih-lebih lagi sebuah karya agung seperti ini,” jelasnya.
WATAK BERAT, MENCABAR
Bagi pelakon Jay Iswazir, peluang melakonkan watak Zahiruddin Shah menerusi teater ini adalah peluang satu dalam sejuta yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Berlakon dalam teater ini memang mencabar, lebih-lebih lagi pada sudut kefahaman kerana banyak perkataan yang diucapkan adalah asing kepada masyarakat meskipun dipersembahkan dalam bahasa Melayu.
“Tapi, perkara itu diatasi dengan adanya latihan dua bulan selain bantuan daripada tenaga pakar.
“Bagi saya, watak Zahiruddin Shah ini berat dan dalam pementasan lain sebelum ini, pernah dibawakan pelakon-pelakon hebat seperti arwah Zaibo.
“Saya cuma risaukan lakonan saya tidak capai standard dan tidak sampai kepada penonton. Apa pun saya hanya mampu berikan lakonan terbaik,” katanya.