PUTRAJAYA: Semua pihak diminta menghormati proses pelaksanaan hukuman sebatan syariah bagi pesalah khalwat yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Terengganu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa negeri melibatkan hal ehwal agama Islam.
Pada masa sama, kata beliau, agenda pendidikan dan dakwah perlu diperhebatkan agar masyarakat menghayati adab serta batas pergaulan dalam masyarakat.
“Perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa negeri. Semua pihak adalah dimohon untuk menghormati proses tersebut,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, seorang tukang rumah, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail memutuskan hukuman itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan dan pelaksanaan sebat dilakukan di luar penjara memandangkan ia adalah kesalahan ketiga dilakukan lelaki berkenaan.
Hukuman sebatan syariah pertama dilaksanakan di Terengganu ini menjadi perdebatan umum dengan ada pihak yang menyokong dan membantah pelaksanaan hukuman itu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hukuman itu diharapkan menjadi contoh pelaksanaan syariah yang membawa rahmat kepada seluruh rakyat.
Katany, hukuman ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, tetapi sebagai satu bentuk pendidikan, pengajaran, dan pencegahan kepada masyarakat agar lebih dekat dengan nilai-nilai Islam.
Berikutan kejayaan Teregganu melaksanakan hukuman itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mahu negeri-negeri khususnya ditadbir oleh Pas perlu membuat kesediaan ke arah melaksanakan hukuman sebat secara terbuka terhadap pesalah syariah.
Menurut beliau, hukuman sebat secara terbuka ini bukan kejam atau memalukan sebaliknya memberi kesedaran bukan sahaja kepada pesalah sebaliknya kepada masyarakat menyaksikan hukuman berkenaan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud menegaskan, perbuatan menyebarkan naratif mengelirukan atau berniat tidak baik termasuk mempolitikkan hukuman sebat syariah yang dilaksanakan di Terengganu perlu dihentikan.
Katanya, pelaksanaan hukuman sebatan syariah itu adalah langkah mendidik masyarakat secara lebih serius dan berkesan.
“Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada Terengganu atas pelaksanaan hukuman yang mendidik masyarakat dengan lebih berkesan dan selaras piawaian berteras syariah.
“Pelaksanaan ini insya-Allah akan diusahakan di Kelantan apabila mempunyai prosedur operasi standard (SOP) terbaik,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri Kedah, Datuk Mohd. Azam Abd. Samat pula berkata, seluruh umat Islam sepatutnya bersolidariti dalam melaksanakan tuntutan agama melangkaui daripada batas politik mahupun kepartian.
Katanya, tindakan awal yang boleh diambil oleh Pas Kedah adalah menyemak enakmen syariah negeri ini berkaitan hukuman tersebut.
“Kalau sesuatu itu bertepatan dengan undang-undang dan sebagai umat Islam, apa sahaja yang diturunkan untuk jadi panduan kita kena ikut, kena laksanakan.
“Jadi mungkin selepas ini saya boleh ajukan untuk diadakan perbincangan bagi mengetahui lebih lanjut, apa yang ada dalam undang-undang di peringkat negeri Kedah. Jika benda itu tidak melanggar undang-undang dan tujuannya untuk kebaikan bukan satu masalah,” katanya.
Bagaimanapun, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan, pihak atau individu yang tidak bersetuju pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai hanya membantah kepada keputusan pemerintah dan bukannya terhadap ajaran Islam.
Beliau berkata, tiada penetapan syarak menyuruh pesalah khalwat disebat di khalayak ramai, bahkan dibimbangi bercanggah dengan kehendak syarak yang menyuruh menutup keaiban peribadi individu.
Jelasnya, menyebat kesalahan khalwat di khalayak ramai bukan hukum Allah dan Rasul-Nya, ia hanyalah pilihan penguasa semata. Di bawah takzir yang juga ijtihad pemerintah berkemungkinan salah dan betul. – UTUSAN