Himpunan muzik, tari, lakonan dan nyanyian dalam satu pementasan - Utusan Malaysia

Himpunan muzik, tari, lakonan dan nyanyian dalam satu pementasan

KUALA LUMPUR 16 DISEMBER 2024 - Pementasan Teater Muzikal PERMATA Seni 2024 di Auditorium Perdana di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA: FATIN / HAFIZ / RASDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBERHASILAN Teater Muzikal Permata Seni: Mensyukuri Nikmat Kedamaian, inisiatif Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menerusi program Permata Seni yang dipentaskan di Auditorium Perdana, Angkasapuri baru-baru ini mencatatkan satu lagi pencapaian membanggakan sejak lebih satu dekad program itu diwujudkan.

Teater berskala besar, yang menggabungkan 168 peserta daripada tiga komponen iaitu Permata Seni Koir, Permata Seni Tari dan Permata Seni Muzik tidak mudah dilaksanakan.

Pengarah projek, Taufik Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Pat Ibrahim, yang sebelum ini sinonim dengan pementasan mega seperti Puteri Gunung Ledang Muzikal, berdepan cabaran getir merealisasikan persembahan yang diadakan dua tahun sekali itu.

“Cabaran paling besar adalah persiapan, kami perlu manfaatkan dengan sebaiknya empat bulan yang diperuntukkan untuk menyiapkan pementasan ini.

“Memang tidak mudah, peserta ada komitmen dengan pelajaran mereka. Disebabkan itu, kami hanya ada dua hari dalam satu minggu, selama empat bulan untuk melakukan latihan dan raptai.

“Saya akui ini proses tipikal dalam menghasilkan pementasan muzikal kerana tempoh persiapan yang boleh dikatakan singkat.

“Tetapi disebabkan komitmen dan disiplin semua peserta, pementasan ini ‘menjadi’,” katanya.

Teater Muzikal Permata Seni: Mensyukuri Nikmat Kedamaian dijayakan sepasukan kanak-kanak berbakat besar yang keseluruhannya berusia antara 7 hingga 14 tahun.

Kata Pat, beliau bangga dengan pembabitan anak-anak muda yang datang daripada pelbagai latar belakang, disatukan dalam pementasan itu.

“Pada usia yang masih muda, mereka sudah melakukan kerja-kerja profesional. Berbeza dengan pengalaman saya ketika diusia mereka satu ketika yang lalu.

“Lebih membanggakan lagi, peserta-peserta ini datang daripada pelbagai latar belakang dan sekolah berbeza-beza di mana ada yang belajar di sekolah antarabangsa, sekolah kebangsaan, tadika dan pelbagai lagi,” katanya.

ISU PALESTIN
Kehidupan kanak-kanak sejagat dengan pelbagai isu sosial seperti peperangan, penderaan, kemiskinan, kebuluran dan penganiayaan.


Itu konflik yang diangkat dalam pementasan tersebut, yang antara lain menjadikan isu Palestin sebagai sumber penceritaan.

Kata Pat, isu tersebut menarik dikupas dalam teater itu kerana membabitkan sisi pandang kanak-kanak mengenainya.

“Saya rasa ia menarik sebab kita mahu melihat reaksi dan maklum balas generasi baharu mengenai keadaan di Palestin.

“Kita mahu tengok apa tindak balas dan usaha mereka untuk membantu. Ia satu perkara yang menarik untuk kita nilai,” kongsinya.

SUKARELAWAN KOMITED
Berkongsi pengalaman membimbing pasukan koir Permata Seni dalam pementasan ini, Datuk Syafinaz Selamat, selaku vocal master pasukan itu memaklumkan kagum dengan komitmen diberikan semua peserta.

“Mereka semua adalah sukarelawan, yang kami latih secara percuma menerusi kelas yang dianjurkan sejak awal tahun ini.

KUALA LUMPUR 16 DISEMBER 2024 – Pementasan Teater Muzikal PERMATA Seni 2024 di Auditorium Perdana di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA: FATIN / HAFIZ / RASDAN

“Bukan mudah untuk kumpulan peserta bagi latihan dan raptai. Dan mereka kumpulan koir ini, menerusi pementasan ini, bukan sahaja menyanyi secara harmoni, malah juga berlakon dan menari.

“Ia satu proses mencabar, apatah lagi bagi kumpulan koir, ahlis terlibat sebahagian besarnya anggota baharu. Namun, mereka ini berdisiplin, komited dan terlatih,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya