Menjadi seorang selebriti mungkin sukar membahagikan masa untuk beriadah kerana jadual kerja yang padat.
Namun, berbeza pula bagi pengacara dan penyampai radio, Haziq Hussni yang mengakui dirinya komited untuk melakukan hobinya setiap minggu iaitu bermain badminton.
“Saya suka bermain badminton. Setiap minggu saya akan habiskan masa sekurang-kurangnya dua hari untuk bersukan bersama rakan-rakan. Saya juga suka bermain futsal dan bola.
“Saya suka bermain badminton sebab saya perasan kalau saya pergi gim, zumba atau berbasikal saya tidak konsisten dan sekejap saja. Bila saya main badminton dia konsisten dan beri kesan yang baik pada mental dan fizikal saya.
“Saya boleh nampak perubahan berat badan saya semakin menurun, stamina saya makin stabil dan memang berkesanlah sukan ini untuk saya,” katanya kepada Pancaindera.
Selain ingin mengamalkan gaya hidup sihat, penyampai radio Era itu mengakui hidupnya akan berasa suram dan tidak lengkap jika tidak dapat bermain badminton dalam seminggu.
“Saya minat hobi ini sudah lama tetapi memang susah nak konsisten sebelum ini. Tapi sejak 2022, saya sudah ada kawan untuk bersukan bersama dalam masa dua jam sehari. Bila ada kawan ini kita jadi lebih semangat untuk lakukan setiap minggu.
“Saya juga tidak rasa susah untuk saya lakukan hobi saya itu sebab saya ada jadual yang teratur. Jika saya ada kerja yang perlu dilakukan, saya akan cari juga masa dalam seminggu itu untuk bersukan. Kalau tidak, saya akan rasa suram saja,” jelasnya.
Dalam masa sama, Haziq turut menyifatkan kawan-kawan adalah penyuntik semangatnya untuk terus komited melakukan rutin mingguan tersebut walaupun masing-masing mempunyai komitmen kerja yang berlainan.
“Saya rasa kami semua berada di tahap yang sama dan kehebatannya setara. Jadi, bila nak bermain itu seronoklah. Saya juga selalu bermain futsal dengan penyanyi Amir Masdi. Kalau ada peluang untuk tubuhkan atau terlibat dalam satu komuniti, apa salahnya.
“Adakalanya susah juga nak tetapkan masa dengan kawan-kawan sebab mereka ada komitmen kerja masing-masing. Tetapi sekarang ini, mereka sudah memahami masa untuk bersukan seperti hari Selasa dan Khamis itu semua akan turun padang sekali,” katanya.
Bekas pengacara Melodi itu juga memberitahu sukan ini tidak memerlukannya berbelanja secara berlebih-lebihan kerana hanya perlu membeli kasut dan raket sahaja.
“Untuk sukan badminton, saya sudah laburkan dalam anggaran RM500 ke RM600 untuk membeli kasut, raket dan keperluan lain. Saya tidaklah berbelanja lebih sebab saya melihat hobi ini untuk jangka masa yang panjang. Biarlah perubahan itu berlaku dari masa ke semasa,” jelasnya.
Ditanya sama ada pernah berdepan dengan sebarang insiden, Haziq memberitahu dia pernah mengalami kecederaan patah pergelangan tangan akibat bermain bola sepak.
Kata Haziq, insiden itu juga membuatkan dia bertukar angin kepada sukan badminton yang kini dianggap sebagai aktiviti kegemarannya pada waktu lapang.
“Sejujurnya, sukan yang saya lakukan kini tidaklah mencabar. Bermain badminton dan bola itu adalah sukan biasa. Tetapi saya pernah patah pergelangan tangan ketika bermain bola sepak.
“Insya-Allah, pada tahun hadapan saya akan menjalani pembedahan sekali lagi untuk keluarkan besi daripada tangan saya. Itu juga antara sebab kenapa saya tidak bermain bola. Alhamdulillah, untuk badminton saya masih lagi boleh main.
“Lagipun, badminton ini buat saya tidak bosan. Saya memang teruja untuk pergi bermain badminton sebab saya suka sukan yang melibatkan ramai orang. Dari situ saya boleh bersosial dengan orang sekeliling,” ujarnya.