KUALA LUMPUR: “Ibarat diberi peluang kedua, saya tidak akan sia-siakan ‘masa’ yang ada dan teruskan karier seni sebaik mungkin.”
Demikian kata pelakon baharu, Marc Syahmie yang bersyukur diberikan peluang kedua selepas disahkan menghidap kanser testis tahap dua.
Tidak patah semangat, Syahmie menganggap dugaan yang harus ditampung pada usianya 25 tahun itu bukanlah penamat dalam kehidupannya meskipun pada awalnya sukar untuk menerima ketentuanNya.
“Kanser bukanlah penamat kehidupan, sebaliknya menjadikan saya lebih bersyukur dan memandang kehidupan daripada sudut berbeza.
“Saya terduduk juga apabila disahkan ada kanser. Dalam hati tertanya-tanya kenapa saya, sedangkan saya masih muda dan tidak ada sejarah sakit kanser pun dalam kalangan keluarga.
“Keluarga juga terkejut, tetapi apabila saya fikir sakit adalah penghapus dosa saya mula berlapang dada dan berdamai dengan takdir,” katanya.
Pemilik nama lengkap, Ahmad Syahmie Mahayudin berkata, dia tidak menyangka sakit tulang belakang yang dialami hampir setahun dan bengkak di sebelah testis merupakan simptom kepada kanser testis.
Namun, Syahmie bersyukur perkara itu dikesan pada peringkat awal selain bertindak untuk melakukan pembedahan membuang sel kanser di testis kirinya dan menjalani rawatan kimoterapi sebulan selepas disahkan oleh doktor.
“Alhamdulillah, saya hanya perlu melakukan kimoterapi sekali sahaja menggunakan dos paling tinggi. Walaupun sekali memang nampak kesannya pada badan, saya rasa loya dan keletihan.
“Selepas seminggu rawatan kimoterapi saya sudah boleh jalani kehidupan seperti biasa. Doktor juga memberitahu, saya boleh sihat sepenuhnya kerana usia masih muda,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Cinta Kedua itu tidak mengambil pusing akan stigma negatif sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai peluang untuk berkongsi dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kanser.
“Jujur mulanya saya rasa malu sebab kanser testis. Pelbagai stigma akan bermain difikiran orang, tetapi jika saya tidak kongsi mengenainya orang tidak akan tahu.
“Kanser testis boleh menyerang lelaki yang berusia 25 tahun ke atas dan jika dapat dikesan lebih awal akan dapat menyelamatkan nyawa serta memberi kualiti kehidupan yang lebih baik.
“Justeru, saya buang rasa malu supaya lebih ramai lelaki tahu tentang kanser testis. Jika ada rasa abnormal pada mana-mana bahagian anggota badan, tolong lakukan pemeriksaan di hospital. Jangan jadi seperti saya yang indenial selama setahun,” katanya.
Syahmie juga memberitahu dia masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa termasuklah berkahwin dan memiliki cahaya mata meskipun kehilangan testis di sebelah kiri.
“Inilah yang ramai orang takut, sekarang dengan teknologi, kualiti kehidupan bekas pesakit kanser adalah lebih baik. Doktor memberi jaminan, saya akan pulih sepenuhnya dalam tempoh setahun,” ujarnya.