PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menitahkan agar budaya penderaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu dihentikan serta-merta.
Seri Paduka Baginda dalam titah sulung selaku Canselor UPNM turut meminta semua pihak berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik universiti berkenaan.
“Jika ia terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.
“Saya percaya, ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera dan bukannya untuk didera,” titah Sultan Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Seri Paduka Baginda sebagai Canselor UPNM dan Konvokesyen ke-14, hari ini. – UTUSAN