PASIR SALAK: “Dia mahu mandi di tali air kerana masa budak-budak dulu, kami selalu mandi di situ. Memang tak sangka ia berakhir sehingga dia lemas.”
Itu kata Hamidi Mohamad Yazid, 39, rakan kepada Koperal Muhammad Taufik Sayutin, 39, anggota polis yang ditemukan lemas semalam selepas dihanyutkan arus deras tali air di Jalan Utama Changkat Lada, Kampung Gajah di sini semalam.
Menurut Hamidi, sebelum mandi di tali air, dia dan Muhammad Taufik serta rakan sebaya yang lain menghadiri majlis `reunion’ bersama kawan-kawan sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Changkat Lada di sini.
Katanya, antara acara yang diadakan ialah perlawanan bola sepak dan Muhammad Taufik turut mengambil bahagian.
Jelasnya, sebelum itu Muhammad Taufik ada memberitahu mahu mandi di tali air selepas perlawanan bola sepak bagi mengimbau zaman zaman kanak-kanak bersama rakan-rakan yang sering mandi di tali air.
“Semasa mandi, anak lelaki Muhammad Taufik berusia 13 tahun ikut serta. Dia meminta anaknya itu merakamkan gambar dia sedang mandi untuk tunjuk kepada kawan-kawannya.
“Kami seramai sembilan orang mandi di tali air dan Muhammad Taufik ada beritahu dia tak larat untuk berenang hingga ke tengah tali air kerana masih penat selepas bermain bola.
“Ketika sedang mandi, anak Muhammad Taufik menyedari bapanya lemas lalu menjerit memberitahu bapanya lemas. Kami sedaya upaya menyelamatkannya namun gagal kerana arus tali air terlalu deras,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan tali air di Jalan Utama Changkat Lada, Kampung Gajah di sini sebelum dijumpai di kawasan tebing pada jarak tiga meter dari pusat kawalan bomba (PKB). – UTUSAN