KUALA LUMPUR: Hasil daripada keputusan kerajaan menarik balik subsidi diesel antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara tersebut terkandung dalam sesi pertanyaan bagi Jawab jawab lisan yang akan diajukan oleh Tuan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN- Permatang Pauh) kepada Menteri Kewangan.
Pertanyaan tersebut bagi mengenalpasti seberapa banyak penjimatan kerajaan berjaya perolehi dan apakah kaedah yang digunakan untuk menggunakan jumlah penjimatan ini.
Dalam sesi sama, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) meminta Menteri Pendidikan untuk menyatakan status pelaksanaan Intervensi Kurikulum Murid Tahap Satu bagi menangani isu keciciran pembelajaran dan sejauh manakah penjajaran semula standard pembelajaran serta kandungan subjek sains dan matematik memberi impak positif terhadap bebanan para guru di sekolah rendah dan menengah.
Hassan Abdul Karim (PN- Pasir Gudang) pula meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air terkait Kerajaan Malaysia akan berbincang dengan Kerajaan Singapura untuk mengkaji semula Perjanjian Sungai Johor tahun 1962 yang tidak adil kerana membenarkan Singapura menerima 250 juta gelen air dari Johor sehingga tahun 2061 pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen.
Persidangan Parlimen kemudian disusuli Menteri Komunikasi membentangkan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi daparln Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024.
Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 35 hari hingga 12 Disember ini. – UTUSAN