Hasil kelapa menurun akibat cuaca tak menentu

Hasil kelapa menurun akibat cuaca tak menentu

PEKEBUN mengopek kelapa di tempat pengumpulan buah kelapa yang mengalami kekurangan bekalan akibat cuaca tidak menentu. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Penghasilan kelapa di daerah ini berkurangan berikutan cuaca tidak menentu dan pekebun tidak menolak kemungkinan harga kelapa akan naik.

Penasihat Persatuan Kelapa Malaysia, Ramlee Hussin berkata, masalah kekurangan buah kelapa sudah berlaku sejak dua bulan lalu disebabkan musim hujan apabila pokok tidak mengeluarkan buah pada kuantiti biasa.

Menurutnya, kebiasaannya satu tandan boleh berbuah antara 10 hingga 15 biji kelapa namun disebabkan cuaca, satu tandan berkurangan antara lima hingga lapan biji.

Katanya, begitupun setakat ini harga kelapa masih pada kadar biasa dan tidak mencatat kenaikan iaitu antara RM1.30 hingga RM1.80 sen sebiji mengikut saiz.

“Saya ada dengar harga santan akan naik sehingga RM14 hingga RM16 sekilogram, namun saya percaya harganya tidak akan naik setinggi itu kerana harga kelapa tua masih rendah.

“Saya percaya pokok mengambil masa untuk berbuah pada kuantiti biasa apabila cuaca kembali pulih,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, selain faktor cuaca, kekurangan buah kelapa di daerah ini juga disebabkan keluasan tanaman kelapa semakin berkurangan kerana ramai yang beralih kepada tanaman kelapa sawit.

Katanya, ramai yang memilih menanam kelapa sawit kerana hasilnya lebih cepat dan harganya komoditi itu tinggi dan konsisten.

Katanya, selain itu semakin banyak tanah di sini yang dibangunkan untuk pembinaan rumah.

“Daerah ini semakin membangun, banyak rumah didirikan dan ini secara tidak langsung menyebabkan banyak tanah yang dibina kawasan perumahan.

“Kita tidak dapat mengelak pembangunan dan perlu sedia menerima perubahan yang dibawa kerajaan ke daerah ini,” katanya.

Ramlee berkata, selain itu, keluasan tanaman kelapa sawit semakin terancam kerana terdapat pekerja asing yang mengusahakan tanaman pisang dengan menyewa tanah milik penduduk tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya