ARAU: Tanaman mempelam harumanis sekitar negeri ini mula mengeluarkan bunga di beberapa kawasan menjelang ketibaan musim baharu pada tahun hadapan.
Buat masa ini, sekitar lima hingga 10 peratus tanaman itu di Perlis telah mengeluarkan bunga dengan hasil akan mula diperoleh pada penghujung bulan Mac depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, keadaan cuaca diharap terus kekal kering bagi menggelakkan bunga tanaman berkenaan rosak.
“Apabila keadaan hujan, akan berlaku dua situasi di mana bunga akan luruh dan keduanya, ia akan menjadi kehitaman sekali gus menjejaskan hasil pengeluaran. Kita harap jika hujan selepas ini, ia tidak terlalu lebat sebab kalau tak ada hujan pun akan menyebabkan tanaman lain turut terjejas,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Razali mengulas mengenai perkembangan tanaman harumanis menjelang ketibaan musim baharu pada tahun hadapan dalam memenuhi permintaan orang ramai.
Pengeluaran harumanis Perlis tahun ini merekodkan sebanyak 2,022 tan metrik dengan nilai RM46.513 juta dan melibatkan 2,693 petani.
Setakat ini, keluasan tanaman harumanis di Perlis telah mencapai sehingga 1,745.79 hektar manakala kawasan berhasil pula mencecah 1,611.59 hektar berbanding keluasan seluruh kawasan penanaman mangga Malaysia iaitu 4,415.28 hektar.
Razali berkata, buat masa ini, tanaman harumanis di Perlis masih berdasarkan jadual ditetapkan malah petani turut mengusahakan tanaman mereka mengikut rutin kebiasaan.
“Ada seorang dua pengusaha juga cuba membuat tanaman harumanis sepanjang tahun namun sekiranya perkara itu dilaksanakan secara menyeluruh, ia dibimbangi akan jejaskan harga dan kos.
“Lebih baik kekalkan seperti sekarang sebab buah ini juga dah memang sinonim dengan Perlis dan dibimbangi akan kurang permintaan jika di luar musim,” katanya.-UTUSAN