Harga jualan air Terengganu belum muktamad

Harga jualan air Terengganu belum muktamad

WAN ROSDY Wan Ismail (lima dari kiri) dan Ahmad Samsuri Mokhtar (lima dari kanan) menyempurnakan gimik penyerahan Projek Paip Agihan Kemaman ke Gebeng di Balok, Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang dan Terengganu belum memuktamadkan harga jualan bekalan air terawat dari Kemaman, Terengganu ke kawasan perindustrian Gebeng, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri Terengganu sebelum ini menawarkan harga jualan bekalan air tersebut pada kadar RM1.40 per meter padu.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri Pahang mengharapkan  harga berkenaan dapat dipertimbang untuk dikurangkan.

“Kadar (harga) kita bincang bersama, antara Kerajaan Kegeri Pahang dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan  Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) serta Syarikat Air Terengganu (SATU).

“Dia (Kerajaan Negeri Terengganu) letak (harga) RM1.40 (per meter padu), kita minta pengurangan sikit. Terpulang kepada Terengganu. Kita harap ia dapat pertimbangkanlah,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan Air Dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang di Rumah Pam Penggalak Gebeng, di sini hari ini.

Penyerahaan Projek Pembinaan Paip Agihan Air Kemaman-Gebeng sepanjang 29.8 kilometer yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) membekalkan tambahan sebanyak 90 juta liter air terawat sehari dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, di sini.

Pembinaan infrastruktur berkenaan juga bagi memastikan bekalan air terawat yang konsisten dan mencukupi dari Kemaman ke kawasan perindustrian Gebeng, sekali gus menangani gangguan bekalan air yang berlarutan dan menyediakan kemudahan asas bagi pertumbuhan perindustrian yang berterusan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya berkata, projek terbabit dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi lebih dinamik khusus di daerah Kemaman.

Justeru, katanya, ia merupakan inisiatif strategik bagi negeri Terengganu berkongsi sumber dengan negeri ini demi pembangunan bersama. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya