PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan pengharaman penggunaan TikTok kepada mereka yang berumur 16 tahun ke bawah sekiranya platform itu masih gagal memastikan kandungan yang selamat.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk C Sivaraj berkata, ini kerana kandungan tidak bermoral yang semakin berleluasa di platform media sosial itu menjadi satu ancaman yang tidak boleh dipandang ringan.
“TikTok dan platform asing lain lebih mementingkan keuntungan daripada menjaga nilai moral dan keselamatan pengguna, terutamanya anak muda. Algoritma penapisan kandungan mereka gagal sepenuhnya.
“Justeru mengharamkan TikTok sepenuhnya adalah satu langkah yang wajar demi kebaikan negara. Kita tidak boleh tunduk kepada platform yang tidak menghormati nilai dan prinsip kita,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sebagai rekod sebanya 3,571 laman web berunsur lucah disekat dan sebanyak 1,947 kandungan lucah di media sosial diturunkan dengan 71.2 peratus daripada kandungan berkenaan melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Menurut Sivaraj lagi, walaupun kerajaan sudah menetapkan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), platform TikTok tetap menunjukkan kelemahan ketara dan seharusnya tidak membiarkan kepentingan asing merosakkan akhlak anak-anak.
Justeru, katanya kerajaan harus bertindak tegas dan melihat isu berkenaan dengan lebih jauh termasuk mempertimbangkan pembangunan platform media sosial tempatan yang lebih selamat dan terkawal.
“Platform ini bukan sahaja dapat melindungi anak-anak kita daripada pengaruh buruk, tetapi juga memberi peluang kepada usahawan dan peniaga tempatan untuk memasarkan produk mereka secara berkesan.
“Dengan adanya platform digital kita sendiri, kita dapat memastikan data rakyat dilindungi dan kawalan berada di tangan kita,” katanya. – UTUSAN