ALOR SETAR: Situasi banjir di negeri ini semakin pulih apabila hanya tinggal satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif di daerah Kota Setar.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah memaklumkan, PPS tersebut adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gunong yang menempatkan 255 mangsa daripada 65 keluarga.
“PPS terkini yang ditutup adalah di SK Simpang Tiga kira-kira pukul 2 petang tadi selepas kesemua mangsa terjejas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Setakat ini, keadaan banjir di Kedah hampir beransur pulih sepenuhnya selepas mula dilanda bencana itu sejak Khamis minggu lalu, namun pemantauan dari masa ke semasa akan tetap diteruskan agensi terlibat,” katanya di sini semalam.
Banjir negeri ini kali ini disifatkan lebih buruk berbanding September lalu apabila kawasan yang tidak dinaiki air ketika itu turut ditenggelami bah.
Beberapa jalan utama turut ditutup termasuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) yang masih belum beroperasi sehingga kini.