Hanya M. Nasir boleh ‘lerai’ kusut belenggu saya - Utusan Malaysia

Hanya M. Nasir boleh ‘lerai’ kusut belenggu saya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka sudah 34 tahun hidup, penyanyi asal Sabah ini tidak pernah sekali pun menjejakkan kaki ke konsert apalagi mempunyai pengalaman ‘perang tiket’. Kali ini, dengan sejambak bunga di tangan, Stacy dan suami, Akim Ahmad berlari di dalam hujan menonton persembahan Datuk M.Nasir.

“Sejujurnya saya peminat nombor satu Datuk M. Nasir kerana lirik dan lagunya sangat berhantu. Saya tidak pernah ke konsert, cuma tempoh hari saya dan Akim hadirkan diri ke Konsert Cipta 2 M Nasir.

“Saya terpegun dan tidak ke mana-mana sepanjang tiga jam. Konsert itu memberi impak yang sangat besar terhadap muzik saya.

“Tiada apa yang boleh saya katakan melainkan ucapan terima kasih atas pengalaman itu. Saya melayang-layang tengok persembahannya,” katanya.

Bagai keluar daripada belenggu, Stacy tiba-tiba memperoleh ilham dan keyakinan untuk melunaskan rakaman vokal lagu Menyala.

Bayangkan lagu sudah ada, tapi penyanyinya belum sedia. Seperti ada yang kurang dan tidak sampai membuatkan proses rakaman ditunda-tunda.

“Pulang sahaja daripada tengok konsert tersebut, saya seperti dalam ilham baik untuk vokal dan keseluruhan lagu.

“Terus kami siapkan rakaman lagu tersebut. Lagu ini istimewa kerana saya cipta sendiri dan memang dihasilkan sepenuhnya daripada perasaan sendiri,” tambahnya yang menggunakan nama pentas ‘Bunga Cantik’ untuk lirik yang dihasilkan.

Menurut penyanyi Pelangi Senja itu, sejak namanya diterima dalam industri muzik Malaysia kerana memenangi gelaran Juara Akademi Fantasia (AF) musim keenam pada 2008, dia tidak tahu ke mana bakat ini akan membawanya pergi.

Dia sendiri takjub sampai hari ini masih ada peminat yang mengikuti dan menyokong kerjayanya. Namun begitu, Stacy enggan terus duduk di takuk yang sama. Beberapa tahun ini dia mungkin nampak menyepi daripada bernyanyi, tapi dia sebenarnya sedang meningkatkan kualiti diri mempelajari teknik menulis lagu dan menari.

“Saya pernah ragu dan terfikir apakah sebenarnya yang peminat pandang tentang diri saya? Saya pun terkejut bila pergi buat persembahan ke beberapa negeri, mereka kenal saya siapa.

“Bila sudah berumur, saya nilai semula perjalanan dan tengok balik apa yang saya lalui. Saya tidak mahu sama sahaja seperti zaman baru keluar AF, sudah masanya saya ada impian baru dan berikan apa yang terbaik selagi masih mempunyai tenaga.

“Oleh itu, saya ambil peluang belajar buat lagu, tulis lirik untuk lebih faham pekerjaan sebagai anak seni,” tambahnya.

Bawa keluarga yang masih hidup
Menariknya untuk video muzik Menyala ini, ibu kepada tiga orang anak ini masih mengekalkan elemen Sabah dengan melakukan penggambaran di tempat kebudayaan terkenal negeri itu iaitu di Kampung Budaya Mansopiad, Penampang.

Bukan hanya itu, Stacy turut mengundang saudara mara yang masih hidup untuk turut menjadi sebahagian daripada video lagu Menyala.

“Mereka yang terlibat dalam penggambaran itu adalah saudara saya sendiri yang masih hidup sebab banyak nenek moyang sudah tiada.

“Saya kena ambil kesempatan ini untuk abadikan mereka dalam video di samping memberi lebih rasa semangat kepada saya. Dalam video berkenaan juga ada pelbagai elemen seperti gong. Itu boleh dikira sebagai elemen bunyi seorang Stacy.

“Sama seperti sebelum ini, saya berbesar hati untuk membawakan elemen Sabah ke dalam naskhah yang saya hasilkan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Stacy turut berkongsi sedang dalam proses latihan dan persiapan untuk mengadakan konsert solonya di Sabah.

Konsert yang masih dirahsiakan konsepnya itu bakal diadakan Jun tahun hadapan sebagai hadiah buat peminat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN