KUALA LUMPUR: Hanya 10 peratus atau 433 orang daripada 4,328 orang sahaja memperbaharui lesen KL Madani yang dijenamakan semula daripada lesen KL Prihatin pada Jun 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, lesen KL Madani telah dijenamakan semula pada Jun 2023 daripada lesen KL Prihatin di bawah inisiatif Wilayah Bebas Berniaga yang telah diperkenalkan pada 10 November 2020.
Kata beliau, inisiatif ini diperkenalkan sebagai usaha untuk membantu golongan yang kehilangan sumber pendapatan berniaga semasa pandemik Covid-19 melanda negara.
“Lesen KL Madani hanya membenarkan permohonan pembaharuan sahaja bagi pemegang lesen KL Prihatin sahaja. Sebarang permohonan baharu tidak akan dipertimbangkan.
“Berdasarkan rekod, jumlah lesen yang telah dikeluarkan di bawah KL Prihatin adalah sebanyak 4,328 dan setelah pandemik berakhir, jumlah terkini pemegang lesen yang masih aktif dan telah memperbaharui lesen atas jenama KL Madani adalah seramai 433 orang sahaja, iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah lesen asal,” katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang minta menyatakan status terkini Lesen KL Madani yang telah dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan adakah lesen-lesen ini masih aktif serta berapa jumlah keseluruhan lesen yang telah dikeluarkan setakat ini.
Tambah Zaliha, melalui Program Lestari Niaga, DBKL sedang dan akan menyusun semula penjaja di ibu kota, termasuk pemegang lesen KL Madani dengan memastikan mereka dapat berniaga secara sah di tapak gerai yang lebih formal dan berstruktur.
“Sepanjang 2023 dan 2024, program ini telah memberi manfaat kepada 2,621 peniaga dan penjaja kecil melalui pelaksanaan 83 projek di 76 lokasi gerai makanan dan pasar. Program Lestari Niaga akan diteruskan untuk 2025 dengan cadangan pelaksanaan 20 projek yang dianggarkan akan melibatkan 1,300 penjaja,” katanya.– UTUSAN